suria

Polis Ohio Buru Suspek Kes Lapan Sekeluarga Dibunuh Ketika Tidur

Ambulans bergegas ke kediaman keluarga Rhoden susulan penemuan lapan mayat di empat lokasi berbeza, Sabtu.

OHIO: Tragedi yang menyebabkan kematian lapan sekeluarga mendapat perhatian serius pihak keselamatan apabila gerakan mengenal pasti dan memburu suspek yang dipercayai lebih seorang dilancarkan serta merta.

Semua ahli keluarga Rhoden itu ditemui di empat lokasi berbeza dalam kejadian di kawasan pedalaman berdekatan Piketon  kira-kira 60 batu dari selatan Columbus itu.

Mangsa melibatkan tujuh dewasa dan seorang remaja dikenali sebagai Christopher Rhoden Sr, 40; anak lelakinya berusia 16 tahun, Christopher Rhoden Jr.; Kenneth Rhoden, 44; Gary Rhoden,38; Dana Rhoden,37; Clarence "Frankie" Rhoden,20; Hannah Gilley,20; dan Hanna Rhoden,19.

Siasatan awal mendapati semua mangsa dibunuh ketika sedang tidur, termasuk Hanna yang ditemui mati di katil bersama bayinya yang baru berusia beberapa hari.

Bagaimanapun, dua kanak-kanak dan seorang bayi ditemui selamat.

Pejabat Peguam Negeri, Mike DeWine berkata pemeriksaan di setiap lokasi jenayah yang berlaku itu sudah diselesaikan.

Jurucakap DeWine, Lisa Hackley, berkata penyiasat kini berusaha mengenal pasti semua bukti dan petanda yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.

"Ia siasatan yang sangat aktif dan berterusan," katanya.

Penyiasat berkata, tiada sebarang tanda semua kejadian maut itu disebabkan bunuh diri. 

Semua mayat mangsa kini berada di pejabat Koroner Daerah Hamilton di mana bedah siasat dijangka dijalankan segera.  - AP

Piketon, Rhoden, Columbus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain