suria

65 Maut Serangan Bom Di Lahore

LAHORE: Sekurang-kurangnya 65 maut manakala beratus lagi cedera yang kebanyakannya adalah kanak-kanak apabila pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah taman riadah yang dipenuhi orang ramai di ibu negara Lahore.

Lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai khusunya penganut Kristian yang meraikan sambutan Hari Easter pada hujung minggu.

Pegawai kerajaan berkata, pengebom melepaskan bom yang dipenuhi bebola besi berdekatan tampat permainan kanak-kanak di taman riadah popular, Gulshan-i-Iqbal.

Saksi memberitahu, mereka mendengar kanak-kanak menjerit dengan orang ramai memapah mereka yang cedera manakala ahli keluarga mencari-cari mereka yang terselamat di taman riadah yang terletak di tengah ibu kota berkenaan.

Doktor menyifatkan keadaan di hospital amat menyedihkan dengan kakitangan merawat mereka yang cedera yang diletakkan di lantai.

Keadaan itu juga memaksa pihak pengurusan hospital mengeluarkan posting di Twitter bahawa mereka memerlukan bekalan darah dengan segera.

"Ia adalah serangan berani mati. Pengebom memasuki kawasan taman riadah dan meletupkan dirinya berhampiran kanak-kanak yang sedang bermain buaian," kata jurucakap kerajaan, Muhammad Usman.

Javed Ali, 35, seorang penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran berkata, letupan itu menyebabkan tingkap rumahnya berkecai.

"Sepuluh minit kemudian saya keluar dari rumah. Saya melihat cebisan daging manusia berselerakan di dinding rumah. Orang ramai menangis dan saya dengar siren ambulans," katanya.

Lahore

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain