suria

Lapangan Terbang Di Asia Mantapkan Kawalan Keselamatan

HONG KONG: Lapangan terbang di Asia, termasuk Tokyo dan Seoul, meningkatkan tahap keselamatan di sekitar terminal berikutan serangan bom yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang di Brussels pada Selasa.

Lapangan Terbang Incheon, yang terbesar di Korea Selatan, menambah kira-kira 700 kakitangan untuk memantau keselamatan dan mengesan bahan letupan, menurut pengendalinya, Incheon International Airport Corp dalam satu kenyataan e-mel.

Pihak berkuasa kini membuat pemeriksaan rapi di kawasan-kawasan seperti tandas dan tong sampah.

Lapangan Terbang Narita di Tokyo juga telah mengukuhkan kawalan unit peronda bagi mengesan sebarang objek mencurigakan, kata jurucakap Narita International Airport Corp, Tsuyoshi Ohtake.

Lapangan terbang di Asia telah meningkatkan tahap keselamatannya sejak serangan pengganas di Paris dan pengeboman pesawat Rusia yang disyaki dilakukan oleh militan Negara Islam (IS) tahun lepas.

Kebanyakan daripada pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang telah memberi tumpuan kepada menghalang pengganas daripada menaiki pesawat, dengan langkah-langkah seperti imbasan penuh badan, pemeriksaan kasut dan beberapa larangan lain.

Lapangan terbang yang tidak memerlukan orang ramai untuk menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum mereka bergerak memasuki balai berlepas kini terpaksa mempertimbangkan pemeriksaan di setiap pintu masuk.

"Akan terdapat peningkatan pengawasan dan keselamatan ketika anda tiba di lapangan terbang selepas kejadian di Brussels," kata pengasas perunding penerbangan di Malaysia, Endau Analytics, Shukor Yusof.

"Anda sudah melihat betapa ia memerlukan kesegeraannya. Semua ini adalah isu yang sangat sensitif. "

Polis di Brussels telah mengeluarkan satu rakaman litar tertutup yang menunjukkan tiga lelaki sedang menolak kereta sorong bagasi yang disyaki terlibat dalam serangan di lapangan terbang itu.

Pejabat pendakwa persekutuan Belgium, Frederic Van Leeuw berkata dua daripada lelaki itu mungkin melakukan serangan bunuh diri, manakala seorang lagi sedang diburu.

Asia turut menjadi sasaran serangan pengganas baru-baru ini.

Indonesia telah menaik taraf tahap keselamatan di 192 lapangan terbangnya pada Februari, beberapa minggu selepas kejadian pengeboman maut dan serangan tembakan oleh militan IS di pusat bandar Jakarta.

Bom juga meletup di tengah Bangkok pada Ogos tahun lalu yang mengorbankan 20 orang.

Lapangan Terbang Incheon, yang akan mengekalkan paras amaran 'kuning' selepas serangan di Paris pada November juga akan meningkatkan pemeriksaan terhadap bagasi kargo dan barangan penumpang yang didaftar masuk.

Pihak berkuasa lapangan terbang di Hong Kong telah melakukan langkah-langkah keselamatan yang ketat dan akan berhubung rapat dengan agensi-agensi keselamatan kerajaan, menurut e-mel yang dihantar kepada Bloomberg News.

Keselamatan lapangan terbang turut dipertingkatkan di seluruh Australia, kata Polis Persekutuan Australia.

Semua lapangan terbang di negara ini telah diminta untuk menjalankan pelan tindak balas kepada serangan bersenjata, kata Menteri Pengangkutan Darren Chester dalam satu kenyataan e-mel.

Keselamatan di lapangan terbang dan stesen metro di New Delhi juga telah ditingkatkan, Indian Express melaporkan, memetik polis.

India pada minggu ini menyambut Holi, festival warna,di mana permintaan perjalanan adalah antara yang tertinggi.

Syarikat penerbangan kedua terbesarnya, Jet Airways (India) Ltd,  berkata ia menerima 'amaran keselamatan' untuk lima penerbangan dari New Delhi semalam.

Artikel Lain