suria

Dua Letupan Berlaku Di Lapangan Terbang Brussels

BRUSSELS: Letupan yang berlaku di balai berlepas Lapangan Terbang Brussels pagi Selasa mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan letupan kedua yang melanda stesen keretapi laju metro di ibu negara tidak lama selepas itu, mengorbankan 20 mangsa, menurut jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat Brussels, Pierre Meys.

Kejadian itu turut menyebabkan 200 yang lain cedera teruk.


Agensi di Belgium berkata tembakan telah dilepaskan dan kedengaran teriakan dalam bahasa Arab tidak lama sebelum letupan berlaku di lapangan terbang.

Saksi memberitahu, letupan itu dipercayai berlaku berhampiran meja daftar masuk bagi pesawat American Airlines pada pukul 8 pagi.

Gambar di media sosial menunjukkan kepulan asap naik dari bangunan terminal melalui tingkap yang berkecai dan penumpang melarikan diri dengan beberapa orang daripada mereka masih mengheret beg masing-masing.



Daily Mail Online melaporkan, letupan itu berlaku selepas seminggu pihak berkuasa menahan suspek utama insiden letupan Paris di ibu negara Belgium tersebut iaitu Salah Abdeslam.

Menteri Dalam Negeri Belgium, Jan Jambon berkata, negara tersebut telah meningkatkan kawalan keselamatan kerana bimbang berlaku usaha membalas dendam berikutan penahanan suspek letupan di Paris pada Jumaat lalu.

"Brussels masih dalam keadaan berjaga-jaga selepas menahan suspek yang menjadi individu paling dikehendaki di Eropah," katanya.


Polis Belgium kini berwaspada bagi sebarang tindakan balas.

Alex Rossi daripada televisyen British Sky News yang berada di lapangan terbang berkata dia mendengar dua 'letupan yang amat kuat'.

"Saya dapat merasakan bangunan bergerak. Terdapat juga debu dan asap...saya pergi ke arah di mana letupan berlaku dan mereka yang keluar dari situ kelihatan amat bingung dan terkejut."

"Apa yang difikir di sini ialah ia kelihatan seperti serangan pengganas yang belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa di lapangan terbang."

Video juga menunjukkan kemusnahan dalam balai berlepas dengan siling dan kaca bertaburan di lantai.

RTBF berkata stesen metro yang meletup terletak berhampiran institusi Kesatuan Eropah (EU). Pihak berkuasa menutup semua stesen metro di Brussels, tetapi tiada butiran segera tentang kemalangan jiwa dalam kejadian kedua pada hari ini.

Seorang wartawan tempatan membuat posting gambar di Twitter yang menunjukkan seseorang yang berlumuran darah dalam kepulan asap di luar stesen metro Maelbeek di jalan utama Rue de la Loi yang menghubungkan pusat bandar Brussels dengan institusi EU.

Agensi itu memetik sumber hospital sebagai berkata sehingga kini 10 orang telah terbunuh di lapangan terbang.

Perdana Menteri Belgium Charles Michel berkata di Twitternya: "Kami sentiasa memantau situasi dalam setiap minit."

Kebimbangan utama kami adalah untuk mangsa dan mereka yang berada di lapangan terbang.

Lapangan Terbang Brussels telah membatalkan semua penerbangan dan kompleks itu dipindahkan dan kereta api ke lapangan terbang telah dihentikan.

Penumpang dibawa dengan bas dari terminal ke kawasan yang selamat.

Polis tidak memberi apa-apa pengesahan mengenai punca letupan itu. Tetapi terdapat amaran peringkat tinggi di seluruh barat Eropah terhadap kebimbangan serangan militan yang disokong oleh Negara Islam, yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan Paris.


Belgium, Brussels

Artikel Lain