suria

Piza Punca Suspek Utama Serangan Paris Tumpas

Abdeslam cedera di kaki dalam serbuan pihak berkuasa di lokasi persembunyiannya di bandar Molenbeek, Belgium.

SEBELUM ditahan, suspek utama serangan bom Paris, November lalu, Salah Abdeslam dengan beraninya bergerak bebas sekitar bandar Molenbeek, Belgium bersama rakan, Monir Ahmed Alaaj dan Mohamed Abrini.

Malah, penjenayah paling dikehendaki itu dikatakan beberapa kali berjalan melintasi balai polis tanpa disedari pihak berkuasa negara itu.

Selepas mendapat maklumat mengenai lokasi persembunyian suspek berusia 26 tahun itu itu di Molenbeek, pasukan risikan Belgium dan Perancis mula memantau secara rapi.

Dan segalanya bermula apabila penghantar piza ke rumah pangsa di bandar itu yang disyaki didiami suspek.

Situasi itu menarik perhatian pasukan keselamatan kerana ia sekali gus memberi isyarat penghuni kediaman itu berada di rumah.

Tanpa berlengah masa, pasukan polis bersama anjing terlatih menyerbu kediaman itu yang membawa kepada penahanan Abdeslam.

Dalam operasi itu, suspek cedera akibat ditembak di kaki, selain pelbagai senjata dan bahan letupan ditemui di rumah pangsa itu.

Suspek dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan dibenarkan keluar pada pagi Sabtu untuk proses soal siasat serta tindakan perundangan.

Abdeslam menganggotai ISIS dan terlibat secara langsung dalam serangan konsert rock, stadium bola sepak dan beberapa kafe di Paris yang mengorbankan 130 nyawa.

Setakat ini, peguamnya, Sven Mary memaklumkan, anak guamnya bekerjasama dengan pihak berkuasa bagaimanapun tidak setuju untuk dirinya diekstradisi ke Perancis.





Piza, Abdeslam Molenbeek, Belgium

Artikel Lain