suria

Pasukan Khas Siasat Punca Pesawat Flydubai Terbakar Sebelum Terhempas

RAKAMAN CCTV terbaharu yang disiarkan rangkaian TV Rusia menunjukkan pesawat Flydubai terbakar sebelum terhempas berhampiran landasan di Rostov-on-Don.

Video yang mengejutkan pelbagai pihak itu turut dimuatnaik di You Tube.

Susulan itu, pasukan penyiasat kemalangan udara yang berjaya menemui kedua-dua kotak hitam penerbangan FZ981 itu mula menjalankan kajian terperinci.

Dalam kejadian pada 3.50 pagi (waktu tempatan) Sabtu itu, semua penumpang termasuk empat kanak-kanak, 33 wanita dan 18 lelaki terkorban, selain tujuk kru Flydubai.

Pesawat milik syarikat tambang murah itu terhempas pada cubaan kedua untuk mendarat dalam keadaan cuaca yang buruk termasuk jarak penglihatan yang kabur.

Setakat ini, syarikat terlibat telah memberi jaminan akan menjalankan kajian mendalam berhubung tragedi yang mengorbankan 62 nyawa itu.

"Ketika ini, keutamaan kami adalah menghubungi waris mangsa untuk menguruskan jenazah dan pengebumian selain menyerahkan pampasan kepada mereka untuk meringankan beban," demikian menurut kenyataan syarikat itu.

Sementara itu, juruterbang pesawat itu, Aristos Sokratous yang turut terkorban dikatakan bakal berhijrah ke Ireland bersama isterinya yang kini sedang sarat mengandung.

Lelaki berusia 37 tahun dari Cyprus bakal menamatkan khidmatnya dengan Flydubai untuk menyertai Ryanair dan penerbangan itu adalah tugasan terakhirnya dengan syarikat itu.

Flydubai, Rusia, FZ981

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain