suria

Beli Kereta Kebal Rusia: Tentera Thai Nafi Laporan Media

T-90 Main Battle Tanks (MBT). -fotoINTERNET
BANGKOK: Tentera Thai menafikan ia merancang membeli kereta kebal, T-90 Main Battle Tanks (MBT) dari Rusia seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Jurucakapnya Kol Winthai Suwaree yang menyifatkan laporan itu sebagai tidak tepat, berkata sebarang keputusan mengenai pembelian sistem persenjataan akan dibuat secara telus oleh jawatankuasa tentera.

Beliau berkata pihak tentera akan menghebahkan kepada umum jika ia telah membuat keputusan mengenai perkara itu.

Media sebelum ini membuat spekulasi Tentera Thai dalam proses membeli kereta kebal MBT buatan Rusia, dengan Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwon dijadual melawat Moscow akhir bulan ini, untuk melihat kereta kebal T-90 itu.

Ketika ditanya media baru-baru ini, Prawit yang juga Menteri Pertahanan menolak tanggapan itu, dan berkata ia adalah perkara biasa bagi negara tuan rumah mempamerkan persenjataannya kepada tetamu, namun itu tidak bermakna mereka berminat untuk membeli.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha juga dijadual melawat Rusia pada pertengahan tahun ini.

Menurut media tempatan, Tentera Thai sedang mempertimbangkan pembelian MBT dari Rusia kerana perjanjiannya dengan Ukraine untuk membeli kereta kebal T84 Oplot menghadapi masalah penghantaran, dengan hanya 10 daripada 50 kereta kebal diserahkan selepas dua tahun.

Tentera Thai juga mengkaji cadangan untuk membeli MBT buatan China seperti  dilaporkan oleh media.

Artikel Lain