suria

Keluarga Mangsa Serangan London 7/7 Kutuk Babak Filem Bas Meletup

Penggambaran filem 'The Foreigner' yang memaparkan babak sebuah bas merah dua tingkat meletup di sebuah jambatan di London.

KELUARGA mangsa tragedi letupan bas di London pada 2005 mengutuk filem aksi lakonan Jackie Chan yang disifatkan sebagai tidak sensitif apabila memaparkan adegan bas meletup di ibu negara United Kingdom itu.

Penggambaran filem yang menunjukkan sebuah bas merah dua tingkat meletup di Jambatan Lambeth di London seolah-olah mengembalikan ingatan mengenai tragedi yang meragut banyak nyawa pada 7 Julai 2005.

Dalam kejadian sebenar itu, sebuah bas merah dua tingkat meletup di Tavistock Square di tengah London, mengorbankan 13 penumpang termasuk pengganas berusia 18 tahun, Hasib Hussain.

Orang ramai pada Ahad digemparkan dengan insiden letupan bas di Jambatan Lambeth yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada penggambaran filem aksi.

Filem berjudul 'The Foreigner' yang dibintangi Jackie Chan itu turut dilakonkan oleh bintang filem, Pierce Brosnan.

(Gambar kiri) Sebuah bas dua tingkat meletup dalam serangan di London pada 7 Julai 2005 manakala (gambar kanan) penggambaran filem yang memaparkan sebuah bas dua tingkat meletup di London.

John Taylor, bapa kepada salah seorang mangsa yang terbunuh dalam tragedi 7 Julai itu berkata, babak lagak ngeri itu tidak sensitif dan perlu mengambil langkah yang lebih berjaga-jaga dalam memaklumkan orang ramai mengenai letupan tersebut.

Taylor yang secara kebetulan bekerja di Tate Gallery, berdekatan dengan lokasi penggambaran ketika itu berkata, walaupun dia telah dimaklumkan lebih awal mengenai penggambaran tersebut, tetapi dia tidak diberitahu mengenai babak membabitkan sebuah bas merah dua tingkat akan diletupkan.

"Anda boleh faham mengapa segelintir orang terkejut melihat insiden tersebut. Memang ada penggambaran berlaku di bandar tetapi apa yang ditonjolkan itu tidak sensitif.

"Saya tahu ramai keluarga, mangsa-mangsa lain dan mereka yang terselamat akan kecewa dengan perkara ini," katanya.

Seorang lelaki menulis di Twitter berkata: "Adakah meletupkan sebuah bas di Jambatan Lambeth untuk penggambaran filem merupakan idea yang baik di saat negara sedang mengambil langkah berjaga-jaga terhadap serangan pengganas?"

Letupan bas pada 7 Julai 2005 merupakan sebahagian daripada serangan di London yang turut berlaku di stesen kereta api bawah tanah. 

Tragedi itu mengakibatkan 56 orang maut termasuk empat anggota kumpulan pengganas, manakala ratusan lagi cedera. - Mirror

Artikel Lain