suria

Pesawat Berlubang: Pengebom Sepatutnya Naik Turkish Airlines - CEO Daallo Airlines

NAIROBI: Suspek pengebom berani mati yang meletupkan badan pesawat Daallo Airlines sehingga berlubang dan terpaksa mendarat cemas di Mogadishu pada minggu lalu sepatutnya menaiki penerbangan Turkish Airlines, kata ketua pegawai eksekutif Daallo Airlines pada Isnin.

Pengebom itu 'disedut keluar' dari pesawat selepas letupan berkenaan mengakibatkan lubang selebar satu meter. Pesawat tersebut kemudiannya berpatah balik ke lapangan terbang di ibu negara Somalia untuk pendaratan cemas.

Ketua pegawai eksekutif Daallo Airlines, Mohamed Ibrahim Yassin berkata, kebanyakan penumpang yang menaiki pesawat itu sepatutnya menggunakan penerbangan Turkish Airlines tetapi dibawa ke Djibouti menggunakan salah satu pesawatnya selepas syarikat penerbangan Turki itu membatalkan penerbangannya kerana cuaca buruk.

"Penumpang berkenaan (suspek mengakibatkan letupan) menaiki pesawat menggunakan pas penerbangan Turkish Airlines dan berada dalam senarai nama penumpang Turkish Airlines," kata Yassin ketika dihubungi Reuters.

Yassin berkata, Daallo Airlines membawa penumpang Turkish Airlines yang terkandas menaiki penerbangannya ke Djibouti, di mana salah seorangnya merupakan suspek pengebom berani mati itu.

Secara keseluruhan, penerbangan itu membawa 74 penumpang.

Turkish Airlines bagaimanapun masih belum memberikan maklum balas berhubung perkara tersebut.

Setakat ini, tiada pihak mengaku melakukan serangan itu tetapi sumber kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu berkata, kumpulan militan al-Shabaab yang dikaitkan dengan al Qaeda didakwa sebagai pihak yang bertanggungjawab. - Reuters

Artikel Lain