suria

Jerebu: 19 Maut Di Indonesia

Seorang ibu menemani anaknya yang sakit akibat jerebu di sebuah hospital di Palangkaraya di Kalimantan.

JAKARTA: Krisis jerebu yang melanda Indonesia berpunca daripada kegiatan pembakaran hutan mengakibatkan angka kematian meningkat kepada 19 orang dalam tempoh dua bulan.

Selain kematian, jerebu turut menyebabkan sekolah ditutup dan jadual penerbangan tergendala bukan sahaja di Indonesia, malahan turut menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Menteri Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa semalam mengesahkan bahawa angka kematian lebih tinggi.

“Sehingga pagi ini Rabu, 19 orang disahkan mati akibat jerebu,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa dari Sumatera dan Kalimantan, lokasi kebakaran hutan yang berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian.

Dianggarkan lebih 500,000 penduduk di Indonesia disahkan menghidap penyakit berkaitan pernafasan sejak jerebu melanda Julai lalu.

Agensi bencana Indonesia sebelum ini memberitahu kebakaran itu menyebabkan 10 orang maut ketika operasi memadamkan api dan sebahagian lagi akibat pencemaran udara.

Tahun ini mencatatkan rekod jerebu paling buruk dan kebakaran hutan yang gagal dikawal menyebabkan bencana alam sekitar.

Presiden Joko Widodo merancang untuk sekali lagi melawat kawasan yang terjejas akibat jerebu minggu ini selepas memendekkan lawatannya ke Amerika Syarikat.


Artikel Sebelum

Artikel Lain