suria

Warga Arab Saudi Dijangkiti MERS Meninggal Dunia Di Filipina

Mesin pengimbas yang membuat pemeriksaan terhadap suhu badan penumpang penerbangan yang tiba di sebuah lapangan terbang pada Jun lalu berikutan penularan wabak MERS dari Arab Saudi. Foto Reuters

MANILA: Seorang warga Arab Saudi yang disyaki dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) meninggal dunia semasa berkunjung ke Filipina, kata jabatan kesihatan pada Sabtu.

Pesakit itu yang mengalami batuk, demam dan badan menggigil meninggal dunia di sebuah hospital pada Selasa lalu selepas dikuarantinkan selama dua hari, kata Setiuasaha Jabatan Kesihatan, Janette Garin dalam satu kenyataan.

Seramai 12 pegawai perubatan yang berhubung dengan pesakit berkenaan diasingkan di hospital kerajaan selepas mereka menunjukkan tanda-tanda MERS.

Garin bagaimanapun berkata, kesemua mereka negatif daripada terkena jangkitan itu setakat Sabtu.

Tambahnya, 62 orang lain yang telah berhubung dengan pesakit itu tidak menunjukkan sebarang tanda tetapi akan dipantau selama 14 hari.

"Kita menggesa orang ramai supaya berhati-hati bagi memastikan MERS-CoV tidak merebak di negara ini," katanya.

"Apa yang penting ialah melaporkan kepada hospital berdekatan sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti selesema dan mempunyai rekod mengunjungi Semenanjung Arab atau kemungkinan terdedah dengan pesakit yang dijangkiti MERS-CoV."

Terdahulu, Filipina pada tahun ini mengesahkan terdapat dua kes MERS, melibatkan seorang lelaki dari Timur Tengah berusia 36 tahun namun tidak didedahkan kewarganegaraannya dan seorang lagi merupakan jururawat warga Filipina yang pulang dari negara dari Arab Saudi.

Arab Saudi baru-baru ini melaporkan peningkatan terhadap jangkitan MERS dengan 19 kematian pada Ogos lalu.

Menurut data daripada laman web Kementerian Kesihatan Arab Saudi setakat Jumaat, seramai 536 orang maut akibat MERS di negara itu sejak wabak itu mula dikesan pada 2012. - AFP

MERS, MERS-CoV

Artikel Berikut

Artikel Lain