suria

Tragedi Mina: Pemimpin Iran Tuntut Arab Saudi Mohon Maaf

Sebahagian jenazah jemaah yang terlibat dalam insiden rempuhan di Mina.

DUBAI: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menuntut Arab Saudi supaya memohon maaf di atas insiden rempuhan di Mina baru-baru ini sehingga mengorbankan 769 jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji.

"Isu ini tidak akan dilupakan dan negara-negara akan terus memberikan perhatian serius. Daripada menuduh itu ini, Arab Saudi seharusnya bertanggungjawab dan memohon maaf kepada umat Islam dan keluarga mangsa," kata Ayatollah Ali Khamenei dipetik sebagai berkata, menerusi laman web Khamenei pada Ahad.

Sekurang-kurangnya 144 jemaah warga Iran terbunuh dalam tragedi itu.

Agensi berita Fars melaporkan lebih 300 warga Iran yang lain tidak dapat dikesan, termasuk bekas duta ke Lubnan, Ghazanfar Roknabadi.

"Dunia Islam mempunyai banyak persoalan. Kematian lebih 1,000 orang bukan isu yang kecil. Negara-negara Islam perlu memberi tumpuan kepada hal ini," kata Khamenei. Pegawai Iran yang lain turut mendakwa jumlah kematian dalam tragedi itu adalah lebih 1,000 orang.

Terdahulu, Presiden Iran, Hassan Rouhani menuntut satu siasatan dilakukan terhadap insiden rempuhan itu. - Reuters

Mina, Iran, Arab Saudi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain