suria

Malaysia Naik 'Tahap 2' Dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015

WASHINGTON DC: Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menaikkan kedudukan Malaysia daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap 2, pada Isnin.

Laporan tahunan dikeluarkan oleh Jabatan Negara berkenaan itu menyenaraikan kedudukan 188 negara termasuk Amerika Syarikat (Amerika) dalam usaha menangani pemerdagangan manusia dengan memberikan satu daripada empat peringkat: Tahap 1, Tahap 2, Senarai Pengawasan Tahap 2 dan Tahap 3.

Menurut laporan itu, kerajaan Malaysia berusaha gigih untuk mematuhi standard minimum ke arah membanteras pemerdagangan manusia sepenuhnya.

Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia, Sarah Sewall, dalam taklimat kepada media di Washington, menafikan langkah menaikkan kedudukan Malaysia ada kaitan dengan penyertaan negara itu dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang mensyaratkan pihak yang menandatanganinya perlu memenuhi piawaian minimum hak asasi manusia.

"Kebimbangan kami adalah benar-benar tentang fakta laporan TIP," kata Sewall kepada pemberita pada Isnin.

Kad laporan TIP Malaysia adalah semata-mata berdasarkan kepada penilaian fakta yang dikumpulkan sejak lebih setahun lalu tentang prestasi negara itu mengambil langkah untuk mendakwa penyeludup, melindungi mangsa dan mencegah pemerdagangan manusia, kata Sewall.

"Senarai Pengawasan Tahap 2 Malaysia menunjukkan masih ada banyak ruang untuk memperbaiki usaha antipemerdagangan manusia yang dilakukan kerajaan itu," katanya.

"Walaupun kami masih bimbang mengenai negara yang masih dalam T2WL termasuk Malaysia, kerajaan Malaysia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mematuhi standard minimum," tambah beliau.

Sewall menjelaskan laporan itu tidak mengambil kira kubur-kubur pendatang haram yang ditemui di kem-kem pemerdagangan manusia yang terbiar di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia pada Mei lalu, kerana bulan berkenaan tidak termasuk dalam tempoh laporan tahunan TIP.

Laporan TIP meliputi tempoh bermula pada 1 April tahun lalu dan berakhir pada 31 Mac tahun berikutnya.

Tahun lalu, Jabatan Negara menurunkan kedudukan Malaysia dan negara jirannya, Thailand kepada Tahap 3, kedudukan yang paling rendah yang boleh mencetuskan sekatan terhadap negara yang diberi kedudukan itu.

Sewall menarik perhatian bahawa pendatang di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand tertakluk kepada pelbagai penindasan di kem-kem berkenaan, dan Amerika telah bekerjasama dengan kerajaan dan organisasi antarabangsa di rantau itu untuk memerangi jenayah yang mengakibatkan kematian.

Sementara itu, Duta Malaysia di Amerika Datuk Dr Awang Adek Hussin semasa dihubungi berkata langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu pemerdagangan manusia telah disambut baik oleh kerajaan Amerika dan ia merupakan satu petanda baik buat negara.

Bagi Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika yang berpejabat di Washington DC, Roy Michael, penaikan taraf Malaysia ke Senarai Pengawasan Tahap 2 adalah satu berita yang sangat baik.

"Ini bukan tentang layak atau tidak layak untuk Malaysia dikeluarkan daripada Tahap 3. Malaysia telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memerangi pemerdagangan manusia dan perkara berkaitan dengan pemerdagangan manusia adalah terikat kepada bidang kuasa multinasional.

"Tanggungjawab bukan sahaja perlu dilakukan Malaysia, malah semua negara di laluan pemerdagangan manusia perlu memainkan peranan agresif dalam membendung pemerdagangan manusia," katanya kepada Bernama.

"Selain itu, hubungan Amerika dan Malaysia sentiasa kukuh dan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memainkan peranan yang tegas untuk menggesa negara anggota ASEAN melaksanakan kod tatalaku yang kukuh," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain