suria

Perancis Masih Berusaha Selamatkan Atlaoui

Perancis terus berusaha untuk selamatkan Atlaoui selepas rayuannya ditolak.

BRUSSELS: Presiden Perancis, Francois Hollande memaklumkan pihaknya masih berusaha untuk menyelamatkan seorang pesalah dadah warganya daripada berdepan skuad penembak Indonesia selepas rayuan hukuman mati banduan berkenaan gagal.

“Ia bergantung kepada peguam-peguamnya untuk memutuskan langkah seterusnya.

“Perancis sedang melakukan apa sahaja bagi memastikan banduan itu, Sergei Atlaoui terus hidup,” katanya selepas menyertai sidang kemuncak di Brussels, Belgium lewat Isnin.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Eropah Perancis, Harlem Desir berkata, keseluruhan jentera diplomatik Perancis telah dikerah untuk menyelamatkan Atlaoui.

Paris turut memberi amaran bahawa Indonesia akan menghadapi risiko jika pesalah itu dihukum mati.

Atlaoui, 51, dijadual menjalani hukuman mati bersama lapan pesalah dadah lain dua bulan lalu tetapi mendapat penangguhan selepas Paris memberi tekanan berterusan ke atas Jakarta.

Kelmarin, Mahkamah Pentadbiran Negara di Jakarta menolak rayuan Atlaoui bahawa Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi gagal membuat pertimbangan wajar apabila menolak permohonan pengampunannya.

Mahkamah itu mengekalkan keputusan sebelumnya pada April lepas bahawa ia tidak berkuasa untuk mengadili keputusan Jokowi.

Atlaoui yang juga jurukimpal ditahan pada 2005 di kilang dadah rahsia di luar Jakarta. Pihak berkuasa menuduhnya menjadi ahli kimia premis haram itu.

Pelaksanaan hukuman mati ke atas dua warga Australia, seorang rakyat Brazil dan empat banduan Nigeria pada April lalu pula mencetuskan kemarahan global.

Jokowi bagaimanapun menegaskan bahawa hukuman berat ke atas penyeludup dadah perlu dilaksanakan memandangkan Indonesia kini berdepan krisis peningkatan pe­nyalahgunaan dadah. – AFP


Hollande, Sergei Atlaoui, Jokowi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain