suria

Pengeluaran Makanan Nepal Berkurangan Akibat Gempa

KATHMANDU: Gempa bumi dahsyat pada 25 April serta gegaran susulannya mungkin menyebabkan pengeluaran makanan melalui pertanian di Nepal menurun sekurang-kurangnya tiga peratus tahun ini.

Menurut laporan kementerian pertanian Nepal, jumlah keseluruhan pengeluaran bijirin negara ini pada tahun ini dijangka menurun sekurang-kurangnya tiga peratus daripada unjuran sebelumnya.

Kata laporan itu, pengeluaran padi adalah yang paling teruk terjejas, manakala pengeluaran gandum dijangka meningkat lima peratus dan barli mungkin bertambah tujuh peratus.

Gempa bumi yang berlaku baru-baru ini menjejaskan dengan teruk tanaman musim sejuk di wilayah tertentu dan menyebabkan hasilnya mungkin menurun lapan peratus, kata laporan itu.

Setelah pengeluaran padi dan jagung di negara ini terjejas teruk tahun lepas akibat musim monsun, jumlahnya akan terus menurun tahun ini apabila gempa bumi dahsyat pada 25 April menyebabkan banyak kawasan pertanian mengalami keretakan atau mungkin mengalami kejadian tanah runtuh pada musim hujan, kata jurucakap kementerian itu, Udaya Chandra Thakur.

"Nasi adalah makanan ruji utama Nepal. Pengeluaran padi dijangka menurun sekurang-kurangnya lima peratus tahun ini kerana para petani di kawasan yang dilanda gempa bumi tidak bersedia untuk mengerjakan sawah mereka," kata Thakur.

Menurut laporan itu, pengeluaran sekoi dijangka meningkat 1.5 peratus tahun ini, diikuti gandum kuda. Bagaimanapun, pengeluaran sekoi dan gandum kuda di Nepal sememangnya rendah berbanding padi dan jagung.

Tanaman kontan seperti bijian bagi pengeluaran minyak, kentang, tebu, jut, lentil (kacang), teh, buah-buahan dan sayur-sayuran mungkin bertambah tahun ini.

Sebaliknya, pengeluaran susu dan daging akan menurun kerana gempa bumi yang berlaku itu mengorbankan banyak ternakan.

Menurut laporan tersebut, sekurang-kurangnya 58,000 lembu dan 40,000 unggas mati akibat bencana alam itu.

Sebelum ini, kementerian pertanian mengunjurkan keseluruhan pengeluaran pertanian Nepal pada tahun ini berkembang sebanyak lima peratus.

Pertanian menjana hampir separuh daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar Nepal.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April dan mengorbankan sekurang-kurangnya 8,600 orang serta memusnahkan harta benda bernilai berbilion dolar.

Bencana alam itu menjejaskan dengan teruk 14 daripada 75 daerah yang terdapat di Nepal.

Nepal, Kathmandu

Artikel Lain