suria

IS Mengaku Serang Pangkalan Polis Iraq

Penduduk Baghdad memberi penghormatan terakhir kepada 37 anggota keselamatan yang terkorban dalam serangan IS di pangkalan polis Iraq di bandar itu pada Isnin.
KUMPULAN militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan berani mati ke pangkalan polis Iraq di utara Baghdad yang menyebabkan sekurang-kurangnya 37 nyawa terkorban.

Menurut kenyataan wakil IS secara atas talian, seorang lelaki Somalia meledak sebuah kenderaan yang diisi bahan letupan di pangkalan itu, manakala dua individu berbangsa Tajik dan Syria meletupkan masing-masing sebuah humvee dan trak di kawasan tersebut.

Serangan yang dilakukan pada Isnin itu turut mencederakan lebih 30 orang dan ia dikatakan bertujuan menentang polis persekutuan yang berpangkalan di antara Samarra dan Tasik Tharthar.

Ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban meratapi kematian orang yang tersayang akibat perbuatan militan IS.

Kawasan ini digunakan untuk tujuan operasi ketenteraan bagi  menyekat bekalan IS di Anbar, sebuah wilayah di barat Baghdad di mana kumpulan jihad menakluki kota Ramadi sejak Mei.

Sepanjang tahun lalu, militan IS telah merampas senjata menggerunkan seperti kenderaan tentera, senjata, dan peluru hasil daripada tentera Iraq yang berundur dan kini mengawal kebanyakan kawasan tengah negara Arab.

Pasukan keselamatan Iraq baru-baru ini berjaya menangkis beberapa serangan berani mati yang melibatkan kenderaan yang sarat dengan bahan letupan hasil penggunaan sistem anti kereta kebal, namun hanya sesetengah pasukan sahaja yang mempunyai akses kepada senjata mereka.

Serangan ke atas pangkalan polis dilakukan sehari sebelum ahli-ahli gabungan yang diketuai Amerika Syarikat melakukan serangan udara ke atas IS dan menyediakan latihan serta senjata kepada tentera Iraq mengadakan perbincangan di Paris.



IS, Baghdad, Tasik Tharthar

Artikel Berikut

Artikel Lain