suria

Empat Cedera Parah Dua Gerabak Roller Coaster Bertembung

EMPAT cedera parah selepas permainan 'roller coaster' yang dinaiki mereka bertembung dengan satu gerabak kosong yang lain dalam satu insiden di taman tema Alton Towers di England.

Malah keempat-empat mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki itu terpaksa terkandas selama dua jam sebelum mereka diselamatkan oleh pasukan kecemasan.

Portal Mirror melaporkan jeritan mereka pada ketinggian 25 kaki menggemparkan orang ramai ketika pasukan kecemasan berusaha untuk operasi menyelamat.

Seorang lelaki memuat naik kenyataan di akaun Twitter: "Ada yang tak sedarkan diri, pengsan. Banyak darah. Ia sungguh mengejutkan."

Pasukan kecemasan mengambil masa lebih lima jam untuk menyelamatkan 12 mangsa lain.

Ketua pasukan kecemasan menyifatkan mangsa yang lain sebagai 'cedera ringan'. 

Mangsa yang cedera parah merupakan dua remaja perempuan berusia 17 dan 18 tahun, dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 27 tahun.

Mereka merupakan antara 16 mangsa yang menaiki gerabak 'roller coaster' dengan kelajuan 81 kilometer sejam itu sebelum ia merempuh sebuah lagi gerabak lain yang kosong di landasan yang sama.

Dilaporkan, gerabak yang kosong itu sedang diuji untuk tujuan pemeriksaan ketika kejadian berlaku. 


Artikel Lain