suria

Gempa Bumi: Beribu Terkandas Di New Delhi

NEW DELHI: Beribu-ribu penduduk Delhi terkandas di stesen-stesen metro apabila perkhidmatan kereta api terhenti seketika semasa waktu makan tengah hari di seluruh bandar tatkala satu lagi gempa bumi yang kuat menggegarkan Nepal.

Penghuni yang tinggal di bangunan tinggi dan kompleks kerajaan bergegas keluar ke kawasan tanah terbuka apabila gempa bumi itu berlaku diikuti dengan tiga gempa susulan melanda Kathmandu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi India L S Rathore dalam sidang media berkata gempa bumi dengan kekuatan 7.3 skala Richter itu melanda kira-kira pukul 12.35 tengah hari dengan berpusat kira-kira 60 km di timur Kathmandu.

Beliau berkata ini diikuti oleh tiga gempa susulan berukuran 5.6, 6.2 dan 4.8 yang berlaku dalam masa 15 minit selepas gempa pertama.

Rathore berkata gelombang sesimik yang aktif masih dilaporkan di kawasan  Himalaya dan memberi amaran mengenai kemungkinan lebih banyak gempa susulan dalam masa beberapa jam akan datang.

Beliau berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa besar dilaporkan di India dengan laporan mengenai gegaran turut dialami negeri-negeri di utara India terutama Bihar dan Uttar Pradesh.

Rathore berkata, gempa bumi terbaru yang melanda dekat kem pangkalan Gunung Everest, diukur pada kedalaman yang cetek kira-kira 10km.

Pihak berkuasa Nepal bergegas menghantar pasukan penyelamat ke kem itu ekoran kejadian runtuhan salji dilaporkan di kawasan tersebut.

Gempa bumi 7.8 skala Richter menggegarkan Nepal pada 25 April dengan mengorbankan sekurang-kurangnya 8,046 orang sementara lebih 17,800 orang cedera.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu ditutup kepada semua penerbangan dan media tempatan melaporkan mengenai perkhidmatan kereta api terganggu dan sebahagian kerosakan pada bangunan.

New Delhi, Gempa Bumi, Nepal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain