suria

Rusuhan Baltimore: AS Isytihar Perintah Berkurung

Perusuh tidak menghiraukan kehadiran pasukan keselamatan yang berkawal di sekitar Baltimore apabila bertindak melontarkan sesuatu ke arah anggota beruniform itu.

BALTIMORE: Perintah berkurung peringkat pertama diisytiharkan selama seminggu di bandar raya ini susulan rusuhan penduduknya berikutan kematian warga kulit hitam ketika dalam tahanan polis.

Bandar raya Amerika Syarikat (AS) tu terjejas teruk apabila perusuh memecah masuk kedai, mencuri barangan dan membakar bangunan.

Sehubungan itu, pasukan Pengawal Negara dikerah mengawal keadaan di bandar raya itu, kata Datuk Bandar Stephanie Rawlings-Blake seperti dilaporkan AFP.

Sementara itu, Gabenor Maryland, Larry Hogan bersetuju menghantar pasukan Pengawal Negara dan perintah berkurung akan berkuatkuasa mulai jam 10 malam ini.

"Kita akan kuatkuasakan perintah berkurang di seluruh bandar raya ini mulai jam 10 malam hingga 5 pagi.

"Perintah berkurung peringkat pertama ini akan dilaksanakan selama seminggu dan akan disambung jika perlu," katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Baltimore Colonel Darryl De Sousa.

De Sousa pula berkata pihaknya akan memulihkan keadaan di jalanan selepas tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan yang menyebabkan 15 anggota pasukan keselamatan cedera.

Setakat ini, polis juga sudah menahan 27 orang perusuh.

"Kami tidak akan bertolak ansur (dengan keganasan). Jabatan polis tidak akan membiarkan saja. "Kini, polis sudah dikerah untuk mengawal keadaan sepenuhnya. Kami batalkan cuti semua anggota dan kini mereka di jalanan dan mengawal keadaan," kata De Sousa.

Tunjuk perasaan bertukar rusuhan selepas pengebumian Freddie Gray, 25, akibat kecederaan serius tulang belakang pada 19 April, selepas seminggu berada dalam tahanan polis Baltimore. 

Artikel Lain