suria

Kematian Tahanan Polis Cetus Rusuhan Di Baltimore

Perusuh memecah masuk kedai, mencuri barangan dan membakar bangunan sekitar Baltimore.

BALTIMORE: Kematian warga kulit hitam ketika dalam tahanan polis mencetuskan keganasan di bandar raya ini apabila ratusan perusuh memecah masuk ke pelbagai premis untuk mencuri barangan serta membakar bangunan.

Selain itu, dilaporkan kira-kira 15 anggota polis turut cedera selepas upacara pengebumian Freddie Gray, 25 akibat perbuatan perusuh yang antaranya menyerang menggunakan kayu besbol.

Kejadian yang berlaku hanya beberapa blok dari lokasi pengebumian lelaki itu kemudiannya merebak ke hampir keseluruhan barat bandar raya ini.

Sebelum ini, insiden tunjuk perasaan yang disifatkan paling ganas di Amerika Syarikat berlaku dalam kejadian samun kedai di Ferguson, Missouri, tahun lalu.

Kematian Gary pada 19 April menambah kemarahan orang ramai berhubung layanan polis kepada warga Afrika-Amerika selepas beberapa kejadian sama di beberapa lokasi lain sebelum ini termasuk di Ferguson dan New York.

Akibat rusuhan itu satu perlawanan besbol dibatalkan, sekolah, perniagaan dan stesen keretapi ditutup di bandar raya itu yang mempunyai 662,000 penduduk.

"Penduduk bosan dengan tindakan polis membunuh anak muda kulit hitam tanpa sebab, ia hari yang sedih," kata seorang penduduk, Tony Luster, 40.

Sebelum ini, keluarga Gary meminta untuk mengadakan tunjuk perasaan aman, tetapi ia bertukar ganas apabila peserta mula merusuh.

Gary ditahan pada 12 April selepas lari daripada polis di kawasan jenayah.

Dia membawa pisau lipat dan selepas ditahan, dibawa ke balai polis dalam sebuah van.

Gary dikatakan cedera saraf tunjang yang membawa kepada kematiannya seminggu kemudian.

Pesuruhjaya Polis, Anthony Batts sebelum ini dilaporkan berkata, polis akan melengkapkan siasatan menjelang Jumaat depan.

Enam polis kini digantung tugas kerana dikatakan tidak membawa Gary untuk segera mendapat rawatan selepas mengadu sakit. - Reuters



rusuhan, Baltimore, Freddie Gray

Artikel Lain