suria

Lelaki Diarah Keluar Dari Pesawat Selepas Ugut Mahu Bunuh Penumpang Lain

SEORANG penumpang warga British diarah keluar daripada menaiki sebuah pesawat di Mesir bagi penerbangan ke Manchester, United Kingdom selepas dia didakwa mengancam untuk membunuh penumpang lain.

Portal Daily Mail melaporkan seorang saksi memberitahu bahawa seorang penumpang membuat kecoh di belakang pesawat selepas beberapa minit ia bersedia untuk berlepas dari lapangan terbang di bandar Hurghada.

Ketika kejadian, pesawat bagi penerbangan TCX2515 itu sedang bergerak di landasan untuk berlepas tetapi terpaksa kembali semula ke terminal lapangan terbang ekoran tindakan lelaki itu.

Seorang pegawai bersenjata kemudiannya masuk ke dalam pesawat itu sebaik kembali ke terminal dan mengarahkan lelaki berkenaan keluar daripada menaiki penerbangan tersebut.

Seorang penumpang, Tony Penner, memberitahu akhbar Manchester Evening News bahawa lelaki itu menumbuk pintu sebuah bas yang membawa penumpang ke bahagian parkir pesawat dan mengeluarkan kata-kata berbaur ancaman kepada penumpang yang akan menaiki pesawat itu pada malam Jumaat lalu.

Penner, 53, berkata: "Dia bersama pasangannya kelihatan tidak duduk diam. Dia mula menjerit "Saya akan bunuh sesiapa yang hampiri saya dalam pesawat".

Lelaki itu bagaimanapun menaiki pesawat walaupun selepas berlaku insiden membuat ancaman kepada penumpang lain.

Malangnya, dia kemudiannya berkelakuan lebih buruk semasa di dalam pesawat.

Penner berkata, juruterbang membawa semula pesawat ke terminal akibat kekecohan yang berlaku

Dia memberitahu Manchester Evening News: "Sebaik sahaja tiba di terminal, seorang pegawai yang membawa sepucuk pistol masuk ke dalam pesawat.

"Dia dan juruterbang menahan lelaki itu. Dia mengadu mengenai semua orang mencari salahnya," katanya.

Penumpang lain kemudiannya terpaksa menunggu selama 40 minit sebelum pesawat itu berlepas semula ke Manchester, tanpa membawa lelaki tersebut.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan Thomas Cook Airlines memberitahu MailOnline Travel: "Kami mempunyai polisi sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku dalam pesawat yang boleh menjejaskan keselamatan dan kebajikan kru dan pelanggan kami.

"Kami berterimas kasih kepada semua penumpang dalam pesawat itu kerana bersabar di atas kelewatan untuk berlepas," katanya. - DAIL MAIL


Thomas Cook Airlines

Artikel Lain