suria

Bekas Banduan Rela Dipenjara Semula, Tak Mahu Hidup Merempat

David Potchen kini menjalani kehidupan dalam masyarakat selepas mendapat kerja sebagai pengimpal.

SEORANG bekas perompak yang telah dibebaskan selepas lebih 12 tahun menjalani kehidupan sebagai banduan ingin kembali semula ke penjara kerana tidak mahu hidup merempat.

David Potchen, 53 yang merompak sebuah bank di Merrillville, Indiana pada Jun tahun lalu kini bekerja sebagai seorang pengimpal dan menyimpan hasrat untuk tidak lagi terjebak dengan jenayah.

Sebelum itu, David memberitahu Hakim di Mahkamah Lake County bahawa dia sengaja melakukan rompakan bank kerana mahu kembali ke penjara kerana selesa menjalani hukuman itu selepas didapati bersalah dalam 2,000 kes rompakan bank.

Sepanjang tempoh itu, David dibayar AS$8.29 sejam semasa dalam tahanan tetapi sukar mendapat kerja setelah dibebaskan.

Dia kini masih dalam pemantauan pihak polis sejak Jun tahun lalu selepas dipenjarakan selama 286 hari untuk kesalahan terakhir yang dilakukannya.

Pada hari perbicaraan David memberitahu Hakim Clarence Murray bahawa dia hanya akan mengaku bersalah jika dijatuhi hukuman maksimum lapan tahun penjara supaya dapat kembali ke penjara.

Hakim Murray mengakui terkejut mendengar permintaan David.

"Sepanjang hidup, saya pernah terjumpa beberapa orang yang tidak mempunyai tempat tinggal tetapi saya tidak pernah berjumpa dengan orang yang tidak mempunyai harapan.

"Bagi saya seseorang yang sanggup melepaskan kebebasan dan hidup di dalam penjara adalah mengejutkan," kata Murray.

Bekas perompak itu membuat keputusan untuk kembali ke penjara kerana  sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal.

Dalam kejadian rompakan terakhir itu, David dengan sengaja mencuri wang berjumlah AS$1,000 daripada sebuah bank dan menunggu polis menangkapnya.

Hakim memutuskan untuk membenarkan David menarik balik pengakuannya dan mengenakan caj penukaran yang membolehkan tuduhan rompakan ke atasnya digugurkan jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam masa setahun.

"Anda bukanlah seorang yang tidak berguna, Encik Potchen.

"Anda mempunyai harga diri dan saya sentiasa berharap masih ada orang baik yang percaya tentang kepentingan kebebasan," kata Murray.





Artikel Lain