suria

Gempa Nepal: Angka Korban Lebih 3,700 Orang

KATHMANDU: Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang melanda Nepal pada Sabtu lalu meningkat kepada 3,726 orang, kata pegawai kementerian dalam negeri pada Isnin.

Angka terbaharu itu menunjukkan peningkatan bilangan kematian kira-kira 500 orang berbanding awal pagi Isnin.

Beberapa pihak kerajaan turut menyuarakan kebimbangan bencana itu mungkin menyebabkan kematian sehingga 5,000 orang. 

Lebih 90 orang maut di negara jiran di India dan China, manakala 6,509 cedera di Nepal.

Kerajaan Nepal berkata, ia mempertingkatkan usaha untuk membantu kawasan pendalaman yang berhampiran dengan kawasan gempa.

"Fokus kita adalah menyelamat," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal, Laxmi Prasad Dhakal kepada AFP.

"Bagi kawasan yang lebih jauh, sebuah helikopter yang lebih besar akan ditempatkan di ibu pejabat serantau manakala yang lebih kecil akan digunakan untuk memindahkan mereka yang terselamat."

Pegawai agensi perngurusan bencana berkata, kru kecemasan turut mempertingkatkan usaha mereka untuk menyelamat mangsa yang terselamat dalam bangunan tinggi yang runtuh dalam kejadian pada Sabtu lalu.

"Usaha kita pada hari ini juga akan memfokuskan untuk mencari mereka yang terselamat di kawasan runtuhan bangunan-bangunan besar," kata Rameshwor Dangal yang mengetuai bahagian pengurusan bencana kementerian dalam negeri kepada AFP. - AFP

Artikel Sebelum

Emel Obama Diceroboh

Artikel Berikut

Artikel Lain