suria

Bimbang Gempa Susulan, Warga Nepal Berteduh Dalam Khemah

Kawasan lapang menjadi pilihan warga Nepal untuk memasang khemah sejak kejadian gempa bumi Sabtu lalu.

KATHMANDU: Ribuan rakyat Nepal terpaksa berteduh dalam khemah untuk hari ke empat berikutan kejadian gempa bumi yang melanda negara itu dan mengorbankan lebih 4,000 nyawa setakat ini.

Angka kematian itu termasuk lebih 90 di negara jiran seperti India dan China, manakala lebih 7,500 penduduk Nepal mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, AFP melaporkan pihak berkuasa negara berkenaan menjangka bilangan itu meningkat berikutan usaha pasukan mencari dan menyelamat yang masih meneruskan operasi.

Kebimbangan sekarang adalah berlaku kekurangan bekalan air dan makanan apabila warga Nepal dikatakan bergegas membeli barang keperluan di kedai runcit dan stesen minyak di bandar ini selepas bencana berukuran 7.8 skala Richter itu.

Sementera itu, di NEW DELHI, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lapan juta orang dipercayai terjejas akibat gempa kuat yang menggegar Nepal Sabtu lalu.

Sehubungan itu, pihaknya menjagka wujud keperluan mendesak untuk barangan keperluan termasuk selimut, air bersih, sabun dan ubat.

"Mengikut anggaran awal dan berdasarkan pemetaan kepadatan penduduk di kawasan gempa, lapan juta orang di 39 daerah terjejas dengan bencana itu yang mana lebih dua juta orang tinggal di 11 daerah yang paling teruk terjejas," kata laporan terkini yang dikeluarkan Pejabat Penyelaras PBB di sini.




khemah, Nepal, gempa bumi, Kathmandu

Artikel Lain