suria

Indonesia Laksana Hukuman Mati Lapan Pesalah Dadah

Gambar fail pada 8 Oktober 2010 menunjukkan dua warga Australia, Andrew Chan (kanan) dan Myuran Sukumaran (tengah) bercakap dengan peguam mereka dari sel penjara di Mahkamah Daerah Denpasar di Bali, Indonesia. Foto EPA

JAKARTA: Walaupun mendapat tekanan daripada pihak antarabangsa, Kerajaan Indonesia terus melaksanakan hukuman mati terhadap lapan banduan termasuk seorang rakyat tempatan kerana kesalahan menyeludup dadah, di penjara Pulau Nusakambangan dekat Jawa Tengah, awal pagi Rabu.

"Kita telah menjalankan hukuman mati," kata seorang pegawai Pejabat Peguam Negara (AGO) kepada pemberita.

Kelapan-lapan mereka merupakan warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran; warga Brazil, Rodrigo Gularte; rakyat Nigeria Sylvester, Obiekwe Nwolise, Raheem Agbaje Salami dan Okwudili Oyatanze serta Martin Anderson dari Ghana.

Seorang lagi merupakan warga tempatan, Zainal Abidin.

Sementara itu, seorang warga Filipina, Mary Jane Fiesta Veloso terselamat daripada dikenakan hukuman mati selepas seorang wanita yang didakwa merekrutnya untuk membawa masuk dadah tampil menyerahkan diri kepada pihak polis pada Selasa.

Jurucakap AGO, Tony Spontana berkata, kerajaan bersetuju dengan permintaan yang dikemukakan oleh dua warga Australia yang dikenakan hukuman mati supaya jasad mereka dibawa pulang ke Australia untuk pengebumian.

Seorang anggota Polis Cilacap berkata, selepas hukuman mati dilaksanakan, upacara sembahyang dilakukan terhadap setiap pesalah mengikut kepercayaan agama masing-masing.

"Proses hukuman mati berjalan lancar, tanpa sebarang gangguan," katanya.

AGO menegaskan bahawa hukuman mati itu dilaksanakan selepas ia mendengar kesemua permintaan terakhir daripada kelapan-lapan banduan.

Hukuman mati itu merupakan pelaksanaan yang kedua dijalankan selepas yang pertama pada 18 Januari lalu, melibatkan enam banduan dari Indonesia, Belanda, Brazil, Nigeria, Vietnam dan Malawi.

Kesemua mereka menjalani hukuman tembak. - Jakarta Post/Asia News Network

Artikel Lain