suria

Waris MH370 Warga China Enggan Terima Pesawat Diisytihar Kemalangan

Jiang Hui (kiri) dan Dai Shuqin sebak apabila mendengar pengumuman mengenai MH370.
BEIJING: Keluarga waris penumpang warga China yang berada di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 mendesak Malaysia untuk menarik balik deklarasi bahawa kesemua penumpang pesawat tersebut dianggap terkorban.

Bercakap kepada pemberita di luar perkarangan Tokong Yonghe Lama di sini pada Jumaat, Jiang Hui berkata waris keluarga penumpang juga menuntut permohonan maaf daripada kerajaan Malaysia.

"Kami tidak dimaklumkan mengenai pengumuman penting itu terlebih dahulu. Ia mengejutkan pada saat kami sepatutnya ditemani ahli keluarga terdekat.

"Sebagai waris keluarga, kami mempunyai hak untuk dimaklumkan lebih awal berbanding pihak lain," katanya.

Pesawat jenis B777-200 itu membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal dengan dua pertiga yang berada di dalam pesawat itu terdiri daripada warganegara China.

Jiang berkata ahli keluarga berang dan hati mereka terguris apabila terdengar pengumuman yang disifatkan sebagai 'terburu-buru', tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan.

"Seorang warga emas berusia 60 tahun yang anaknya menaiki pesawat tersebut meninggal dunia beberapa jam selepas terdengar pengumuman tersebut di rumahnya," kata Jiang.

Beberapa waris keluarga turut berkumpul di Beijing pada pagi Khamis apabila mereka mendapat tahu satu pengumuman akan dibuat mengenai perkembangan terkini MH370 pada hari tersebut.

Mereka berhimpun dekat kedutaan Malaysia sebelum bermalam di pusat sokongan keluarga di Shunyi di pinggir bandar Beijing.

Kebanyakan mereka enggan menerima pengumuman tersebut dengan mempertikaikan kehilangan pesawat itu kekal misteri hingga ke hari ini.


MH370, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain