suria

Pejabat Akhbar Satira Perancis Diserang, 12 Terbunuh

Anggota bomba dan pegawai polis berkumpul di hadapan pejabat akhbar satira Perancis Charlie Hebdo di Paris, Rabu, selepas lelaki bersenjata menyerang pejabat akhbar berkenaan, mengakibatkan 12 orang termasuk termasuk dua pegawai polis terkorban, menurut sumber yang rapat dengan penyiasatan itu. -AFP

PARIS: 12 orang termasuk dua anggota polis terbunuh apabila lelaki bersenjata raifal Kalashnikov dan pelancar roket melepaskan tembakan di pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo di sini, Rabu.

Presiden Perancis, Francois Hollande yang bergegas ke tempat kejadian menyifatkan ia sebagai 'serangan pengganas'.

Beliau menggesa 'perpaduan nasional' ketika kerajaan meningkatkan tahap berjaga-jaga ke peringkat tertinggi di wilayah Paris.

Katanya, beberapa serangan pengganas telah pun digagalkan beberapa minggu lalu.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan kejadian, dua lelaki 'bersenjata Kalashnikov dan pelancar roket' menyerbu bangunan di tengah Paris dan berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.

Sumber itu berkata, seorang lelaki bersenjata merampas sebuah kereta dan melanggar seorang pejalan kaki semasa melarikan diri.

Katanya, dua anggota polis terbunuh dalam kejadian itu.

Bagaimanapun masih tidak jelas apa yang berlaku kepada dua penyerang berkenaan.

SEmentara itu kartunis penerbitan Renaud Luzier memberitahu AFP terdapat mangsa yang cedera selepas kejadian itu.

Akhbar bersifat menyindir itu menjadi terkenal pada Februari 2006 apabila ia mencetak semula karikatur Nabi Muhammad yang pada asalnya disiarkan akhbar harian di Denmark Jyllands-Posten, menyebabkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pejabatnya turut dilontarkan bom petrol pada bulan November 2011 apabila ia menerbitkan karikatur Nabi.

Walaupun dibawa ke mahkamah di bawah undang-undang anti-perkauman, majalah itu terus menyiarkan kartun kontroversi.



Artikel Lain