suria

Tentera Junta Thailand Umum Penubuhan Pusat Perdamaian

BANGKOK: Tentera junta Thailand mengumumkan penubuhan pusat perdamaian bagi mewujudkan suasana harmoni dan keamanan di negara itu ketika protes membantah rampasan kuasa pada 22 Mei berterusan.

Jurucakap junta, Kol Wintai Suwaree juga mengesahkan bahawa bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra telah dibebaskan.

Wintai berkata pusat perdamaian itu akan ditubuhkan di bahagian-bahagian utama dan di empat wilayah tentera di seluruh negara untuk menyatukan rakyat Thailand yang berpecah akibat politik selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan butiran lengkap rancangan itu kecuali semua pihak akan diundang termasuk mereka yang tidak terlibat dalam kemelut politik.

Berhubung pembebasan Yingluck yangg ditahan pada Jumaat, beliau berkata Yingluck mungkin berada di Chiangmai, tempat kelahirannya ataupun masih berada di Bangkok.

"Benar beliau telah dibebaskan sekarang, beliau berada di rumah. Saya tidak tahu sama ada beliau berada di Chiangmai atau Bangkok," kata Wintai ketika menjawab soalan pada siodang media di sini hari ini.

Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara belum membebaskan beberapa tahanan tetapi Wintai berkata jumlah mereka yang ditahan dan mereka yang dibebaskan akan diumumkan pada sidang media esok.

Sementara itu, seorang anggota utama Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck, Chaturon Chaisaeng, ditahan oleh tentera selepas mengadakan sidang media di Kelab Wartawan Asing Thailand (FCCT) hari ini.

Beliau tidak melawan apabila tentera datang dan menahannya di hadapan wakil media.

Di Bangkok, penunjuk perasaan anti rampasan kuasa terus mengadakan bantahan selama beberapa jam setiap hari.
Bagaimanapun, mereka bersurai pada petang sebelum perintah berkurung pada malam hari bermula.
Thailand, tentera

Artikel Berikut

Artikel Lain