suria

Kerajaan Australia Tak Akan Jamin Syarikat Penerbangan Qantas

SYDNEY: Kerajaan Australia menegaskan yang mereka tidak akan menghulurkan 'cek kosong' kepada syarikat penerbangan negara itu Qantas sebagai langkah untuk menyelamatkannya.

Bagaimanapun kerajaan konservatif pimpinan Perdana Menteri Tony Abbott menegaskan yang mereka akan menyokong pindaan ke atas Akta Jualan Qantas yang selama ini menghadkan penglibatan pelaburan luar sehingga maksimum 49 peratus sahaja.

Namun parti pembangkang iaitu Parti Buruh dan lain-lain parti kecil pula enggan menyokong sebarang langkah untuk meminda akta itu kerana khuatir, peluang pekerjaan akan dibuka kepada warga luar menerusi pelaburan asing.

Qantas yang tersepit di tengah-tengah melihat situasi yang mereka hadapi sekarang sebagai satu malapetaka perniagaan setelah mencatat kerugian sehingga Aus$235 juta (AS$210 juta) dalam tempoh enam bulan terakhir tahun lalu.

Syarikat penerbangan itu telah pun memutuskan untuk membuang 5,000 pekerja tidak lama lagi.

Qantas menegaskan yang kerugian yang mereka alami bukan sahaja disebabkan oleh kos bahan api yang semakin tinggi tetapi juga persaingan yang sangat kompetatif daripada syarikat penerbangan lain seperti Virgin Australia.

Virgin dimiliki bersama oleh Singapore Airlines, Etihad dan Air New Zealand.

Qantas berkata Virgin mendapat bantuan kewangan daripada syarikat induk mereka untuk bersaing dengannya sedangkan mereka (Qantas) keseorangan dalam berhadapan dengan ketiga-tiga pesaing tersebut.

Mereka mengharapkan bantuan kerajaan tetapi kerajaan konservatif Australia yang tidak begitu mesra perniagaan enggan menggunakan wang rakyat untuk membantu gergasi besar seperti Qantas.

Sebelum ini, kerajaan Abbot juga enggan menghulurkan bantuan dana kepada industri automotif yang menyaksikan hampir kesemua kilang pemasangan kenderaan utama dunia di Australia mengambil keputusan untuk gulur tikar sekaligus menyebabkan beribu pekerja terpaksa dihentikan.

penerbangan, qantas, australia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain