suria

Selepas Diguling Yanukovych Masih Anggap Diri Presiden Ukraine Yang Sah

Viktor Yanukovych. Foto AFP

MOSCOW: Selepas lima hari menghilangkan diri sebaik sahaja kerajaannya digulingkan oleh rakyat, Viktor Yanukovych pada Khamis mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa beliau masih presiden negara itu yang sah.

Yanukovych juga mengesahkan yang beliau telah memohon bantuan Rusia untuk membawanya ke tempat yang selamat.

"Saya, Viktor Fyodorovich Yanukovych, ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Ukraine yang saya adalah presiden negara ini yang sah yang dipilih oleh rakyat Ukraine menerusi saluran pilihan raya yang bebas," ujarnya dalam kenyataan itu.

Beliau juga menganggap yang perjanjian yang ditandatangani pada 21 Februari lalu di antara kerajaannya dengan pihak pembangkang yang disaksikan oleh rakan Barat yang lain sebagai tidak dilaksanakan.

"Saya terpaksa memohon campur tangan Persekutuan Rusia untuk memastikan keselamatan saya terjamin daripada ancaman puak ekstrimis," katanya lagi.

Tambahnya, apa yang berlaku di parlimen Ukraine iaitu keputusan untuk memilih sebuah kerajaan interim baru adalah tidak sah kerana ia tidak disertai oleh sebahagian besar ahli parlimen yang pro kerajaannya kerana khuatir keselamatan diri mereka terjejas.

"Oleh yang demikian, mengambil kira situasi ini, saya secara rasminya mengumumkan yang saya akan terus berjuang hingga ke akhir untuk memastikan perjanjian yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak dilaksanakan untuk masa depan Ukraine itu sendiri,"ujarnya.

Yanukovych menegaskan apa yang sedang disaksikan sekarang ialah penduduk dan warga Ukraine yang mendiami wilayah autonomi Crimea dan barat daya Ukraine (yang pro-Rusia) tidak dapat menerima pembentukan kerajaan baru interim kerana ia muncul atas hasil tindak tanduk anarki dan di luar undang-undang negara.

Pada masa yang sama Yanukovych juga menegaskan yang beliau tidak akan sesekali menggunakan kuasa tentera dan polis untuk merampas kembali kuasa.

Katanya, jika ada yang mendakwa yang mereka telah memberi kuasa kepada pihak tentera dan keselamatan untuk campur tangan dalam krisis politik negara itu, ia adalah satu arahan haram dan satu jenayah.

rusia, Viktor Yanukovych

Artikel Lain