suria

Krisis Politik Ukraine Diburukkan Dengan Penawanan Pejabat K'jaan Oleh Kumpulan Bersenjata Di Semenanjung Crimea

SIMFEROPOL (Wilayah Autonomi Crimea Ukraine): Krisis politik Ukraine yang baru kembali tenang telah diburukkan lagi dengan insiden terbaru yang menyaksikan kumpulan bersenjata yang pro-Rusia menawan bangunan kerajaan di semenanjung Crimea yang bersempadan dengan Rusia pada Khamis.

Kejadian yang tidak disangka-sangka itu berlaku ketika ahli-ahli parlimen di ibu negara Ukraine, Kiev sedang bersidang untuk membentuk sebuah kerajaan sementara yang pro-Kesatuan Eropah.

Insiden tersebut juga mencetuskan tanda tanya apakah ia ada kena mengena dengan arahan latihan ketenteraan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada pasukan tentera Lautnya berhampiran sempadan dengan semenanjung Crimea Ukraine.

Sebaik sahaja kumpulan bersenjata itu merampas bangunan kerajaan dan parlimen wilayah autonomi Crimea itu, kelihatan bendera Rusia berkibaran di atas kedua-dua bangunan utama berkenaan.

Simferopol adalah ibu negeri wilayah autonomi Crimea.

Perdana Menteri wilayah autonomi itu, Anatoliy Mohilyov mengesahkan kepada wakil agensi berita AFP bahawa sekurang-kurangnya 50 lelaki bersenjata telah merampas kedua-dua bangunan berkenaan dan menghalang para pekerja daripada memasuki bangunan.

Mohilyov berkata, beliau dan kabinetnya cuba untuk memasuki bangunan tersebut untuk mengadakan rundingan dengan kumpulan tersebut tetapi dihalang.

"Kumpulan bersenjata itu memaklumkan kepada kami yang mereka tidak diberikan kuasa untuk berunding dengan kerajaan tempatan," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Interim Ukraine, Arsen Avakov berkata, pihak berkuasa dan polis tempatan telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk berhadapan dengan kumpulan bersenjata itu.

"Sebagai langkah untuk mengelakkan pertumpahan darah kami telah mengeluarkan semua orang dari kawasan berhampiran bangunan parlimen Crimea," ujarnya.

Crimea pada asalnya adalah wilayah Rusia yang bersempadan dengan Laut Hitam dan Ukraine.

Wilayah ini telah dihadiahkan kepada Ukraine pada tahun 1954 sebagai simbolik tanda persahabatan oleh Kesatuan Soviet apabila Ukraine bersetuju untuk menjadi anggota kesatuan tersebut.

Etnik Rusia kini berjumlah 59 peratus daripada jumlah populasi Crimea manakala etnik Ukraine 24 peratus manakala etnik Tatar yang beragama Islam berjumlah 12 peratus.

Ukraine dengan populasi berjumlah 46 juta orang kini berada di ambang perpecahan dan perang saudara selepas pihak yang pro-Kesatuan Eropah bertempur dengan kerajaan yang pro-Rusia.

Kerajaan pro-Rusia akhirnya tumbang minggu lalu.

Ukraine yang pernah berada di bawah empayar Kesatuan Soviet mengisytiharkan kemerdekaan pada 1991 selepas empayar itu ranap.

Bagaimanapun, mereka banyak dipengaruhi sama ada dari segi politik mahupun bantuan dana daripada Rusia.

Tetapi majoriti rakyat Ukraine kini mahu membebaskan diri mereka daripada cengkaman Rusia yang mereka anggap sebagai 'kaki buli' atau 'abang besar'.

Selepas tumbangnya kerajaan yang pro-Rusia, Amerika Syarikat berjanji akan memberikan bantuan pinjaman segera sebanyak AS$1 bilion kepada kerajaan baru Ukraine dan begitu juga Kesatuan Eropah yang menjanjikan tambahan AS$1.5 bilion lagi.

Kerajaan baru Ukraine menegaskan yang mereka memerlukan sekurang-kurangnya AS$35 bilion untuk menstabilkan ekonomi.

Krisis di Ukraine bermula November tahun lalu apabila Presiden Viktor Yanukovych menolak desakan supaya beralih kepada Kesatuan Eropah untuk dana tetapi sebaliknya beliau tunduk kepada desakan dan tekanan Rusia yang menyaksikan negaranya menerima bantuan kewangan sebanyak AS$15 bilion daripada Moscow sebagai balasan.

Malangnya selama lebih tiga bulan, kerajaan Ukraine pimpinan Yanukovych lumpuh selepas rakyat membantah dengan menunjuk perasaan setiap hari dan kemuncak daripada bantahan ini ialah kejatuhan kerajaannya minggu lalu.

Yanukovych kini di dalam pelarian.

Kerajaan sementara menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh pemilihan presiden baru.

Kerajaan baru sementara ini diketuai oleh Perdana Menteri, Arseniy Yatsenyuk yang berusia 39 tahun.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan lebih 25,000 orang yang berhimpun di Dataran Merdeka Kiev pada Rabu untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

ukraine, vladimir putin

Artikel Lain