suria

Nokia, Motorola & BlackBerry, Permata Telefon Bimbit Yang Dah Hilang

Nokia merupakan antara peneraju utama dalam dunia telefon bimbit.

BARCELONA: Mereka adalah peneraju utama dalam dunia telefon bimbit tetapi sebaik sahaja era telefon pintar muncul, Nokia, Motorola dan BlackBerry mendapati mereka kini hanya menjadi sebahagian daripada sejarah dalam dunia telekomunikasi.

Ketiga-tiga jenama itu kini bertungkus lumus untuk mencari era kegemilangan yang hilang ekoran kemunculan Samsung dan Apple sebagai dua peneraju utama telefon pintar.

"Kesemua mereka iaitu Nokia, Motorola dan BlackBerry benar-benar ketinggalan bot apabila telefon pintar muncul dan mereka kini bergelut untuk terus relevan di pasaran," kata Bengt Nordstrom, ketua firma konsultansi Sweden, Northstream.

"Ketiga-tiganya mendapati mereka jauh ketinggalan dalam dunia skrin sesentuh," ujarnya lagi.

Nokia, produk buatan Finland, BlackBerry, Kanada dan Motorola dari Amerika Syarikat kesemuanya mengalami kerugian yang besar bagi kewangan berakhir 2013.

Unit telefon bimbit Nokia, yang kini sedang dalam proses untuk diambilalih oleh Microsoft, mengalami kerugian mencecah Euro780 juta atau bersamaan dengan AS$1.07 bilion tahun lalu.

Motorola pula mencatat kerugian sehingga AS$1.03 bilion untuk tempoh yang sama.

Bulan ini, pemilik Motorola, iaitu Google, membuat keputusan untuk melupuskan perniagaan unit telefon bimbit mereka itu dengan menjualnya kepada pembuat telefon pintar China yang sedang meningkat naik di pasaran, Lenovo pada harga AS$2.91 juta sahaja.

BlackBerry, milik firma Kanada, Fairfax Financial Holdings mencatat kerugian sebanyak AS$5.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun lalu.

Para peneraju telefon bimbit dan pintar dunia berhimpun di sini dari 24-27 Februari untuk menghadiri Kongres Telefon Bimbit Sedunia. 

Artikel Lain