suria

Bilionair Dari Benua Asia Semakin Bertambah

Bill Gates.

BEIJING: Jumlah bilionair dari Asia telah menyaksikan pertambahan yang mendadak pada tahun lalu dengan kemunculan lebih dari 200 orang dengan pendapatan bersih mereka mencecah angka 10 digit buat pertama kalinya

Keseluruhannya, sejumlah 824 bilionair Asian telah disenaraikan di kalangan 1,867 orang sebagaimana yang dilaporkan oleh Laporan Jutawan Global Hurun. 

Menurut laporan itu, Amerika Syarikat mengetuai senarai bilionair teramai dunia dengan 481 orang kemudian diikuti oleh China dengan 358 orang. 

Berada dalam senarai teratas ialah pemilik dan pengasas Microsoft, Bill Gates yang mengambilalih tempat taikun telekom Mexico, Carlos Slim sebagai manusia terkaya dunia.  

Manusia terkaya di China ialah taikun hartanah, Wang Jianlin - yang mendaki tangga ke-26 ranking global dengan nilai kekayaan bersih AS$25 bilion.  

Tahun lalu dia menduduki tangga ke-72 dunia.  

Laporan itu juga menyebut yang 90 bilionair dari China turut menyandang jawatan kanan dalam Parti Komunis Republik Rakyat China, kebanyakan sebagai penasihat.  

Keseluruhannya, bilionair global ini memiliki kekayaan bernilai AS$6.9 trilion, iaitu melebihi pendapatan kasar Jepun.  

Nilai kekayaan Gates sahaja mencecah AS$68 bilion sehingga 17 Januari lalu. 

Pelabur terkemuka Amerika, Warren Buffett dan Amancio Ortega, pemilik dan pengasas industri tekstil Sepanyol, Inditex, yang juga adalah pemilik jenama global, Zara berada di ranking kedua dan ketiga dunia.  

Aset mereka ialah sekitar AS$64 bilion dan AS$62 bilion. 

Slim dan keluarganya berada di tangga keempat manusia terkaya dunia dengan aset bernilai AS$60 bilion. 

Tahun lalu, Slim disenaraikan sebagai manusia terkaya dunia dengan aset bernilai AS$73 bilion.  

Artikel Lain