suria

Ribuan Polis Cegah Rusuhan Berdepan Penunjuk Perasaan Di Kawasan Protes

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand memilih untuk melaksanakan tindakan tegas pada pagi Selasa bagi mendapatkan semula kawasan-kawasan protes yang diduduki para penunjuk perasaan sejak lebih tiga bulan lepas.

Kira-kira 25,000 polis pencegahan rusuhan ditugaskan untuk mengeluarkan para penunjuk perasaan dari lima kawasan itu, dengan turut melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah di beberapa lokasi. Di satu daripada kawasan itu, mereka menghadapi sedikit tentangan.

Di Jambatan Phanphah Lilat, polis pencegahan rusuhan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluruh getah untuk mengambil alih kawasan itu selain dapat menahan seorang daripada pemimpin protes, Somkiet Phongpaiboon, tanpa tentangan.

Di Kementerian Tenaga pula, sekumpulan kecil penunjuk perasaan di kawasan itu tidak memberikan tentangan.

Namun, konfrontasi berpotensi berlaku di sekitar Rumah Kerajaan, yang menempatkan pejabat perdana menteri.

Beribu-ribu polis pencegahan rusuhan dan para penunjuk perasaan menunggu di kawasan berdekatan Rumah Kerajaan sejak awal pagi Selasa setelah menjangkakan berlakunya konfrontasi berikutan keputusan pihak berkuasa untuk mengeluarkan para penunjuk perasaan dari lima tapak protes itu pada Selasa.

Pusat Mengekalkan Keamanan dan Ketenteraman Thailand (CMPO) menggelarnya sebagai 'Keamanan untuk Misi Bangkok' tetapi para penunjuk perasaan yang diketuai Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) pula mempunyai tanggapan berbeza.

"Kami telah membuat bantahan di sini selama tiga bulan namun sekolah-sekolah dapat dibuka. Oleh itu, ia bukanlah suatu keadaan seperti yang anda (polis) dakwa.

"Saya juga sahkan bahawa kami akan menggunakan Jalan Pitsanulok untuk memperjuangkan hak kami," kata pemimpin yang tidak dikenali selepas rundingan pertama dengan polis di persimpangan Miksakawan, yang terletak berdekatan Rumah Kerajaan.

Pihak berkuasa menggunakan alasan mengganggu aktiviti rakyat sebagai sebab untuk mengeluarkan para penunjuk perasaan dari kawasan itu.

Kawasan di sekitar Rumah Kerajaan dipercayai yang paling sukar kerana para penunjuk perasaan memberi tumpuan kepada kawasan itu berikutan kepentingannya sebagai pejabat Perdana Menteri.

Para penunjuk perasaan tidak mahu membenarkan Perdana Menteri kerajaan sementara Yingluck Shinawatra bekerja di Rumah Kerajaan.

Pemimpin PDRC, Suthep Thuagsuban, turut berada di kawasan Rumah Kerajaan itu.

"Polis dan penunjuk perasaan bukanlah musuh tetapi musuh rakyat adalah hanya rejim Thaksin Shinawatra. Yingluck (adik Thaksin) perlu meletak jawatan.

"Biarlah kami melaksanakan tugas kami kerana kami adalah rakyat Thai yang menyayangi negara ini," kata Suthep semasa berucap di hadapan para penyokongnya sejurus tiba di persimpangan Miksakawan di sini, Selasa.

Beliau berkata negara ini akan kembali aman jika kerajaan sementara di bawah pimpinan Yingluck meletak jawatan.

Suthep mendakwa Kerajaan telah merosakkan negara ini dengan rasuah dan berhutang 120 bilion baht dengan para pesawah di bawah skim subsidi beras.

Keadaan di persimpangan Miksakawan juga menjadi tegang dan para penunjuk perasaan menamatkan rundingan dengan polis selepas menerima berita mengenai kejadian di Jambatan Phanphah Lilat. - BERNAMA

Artikel Lain