suria

April Tarikh Mengundi Baru Di Thailand

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand membuat keputusan untuk mengadakan pengundian pada April bagi kawasan-kawasan yang proses pengundian diganggu oleh penunjuk perasaan.

Pengundian awal di 21 wilayah yang sepatutnya diadakan pada 26 Jan tetapi dibatalkan, sekarang akan diadakan pada 20 April sementara mereka yang tidak dapat mengundi seperti biasa pada 2 Feb, akan mengundi pada 27 April.

Pesuruhjaya EC Somchai Srisitthiyakorn mengumumkan demikian pada sidang akhbar selepas menemui pihak berkuasa EC 18 wilayah di sini Rabu.

Somchai berkata 21 wilayah yang mengadakan pengundian awal termasuk 14 wilayah di selatan serta Petchaburi, Prachub Kirikhan (Barat) dan Rayong (timur), Samutsongkarm dan Samutsakorn (tengah), Petchaboon (utara) dan Bangkok.

Pilihan raya umum diselubungi kontroversi apabila golongan antikerajaan dan kumpulan pembangkang mempersoalkan kesahihannya dan gagal memenuhi keperluan minimum mempunyai sekurang-kurangnya 95 peratus anggota parlimen yang dipilih kerana 28 daripada 375 kawasan pilihan raya tidak mempunyai calon.

EC memohon bagi pengisytiharan perintah diraja bagi membolehkan pilihan raya diadakan di 28 kawasan.

Sebanyak 125 lagi anggota parlimen dipilih melalui senarai parti.

Esok, Mahkamah Perlembagaan akan bermesyuarat untuk mempertimbangkan petisyen yang dikemukakan Parti Demokrak yang mempertikai kesahihan pilihan raya itu.

Parti Demokrat, parti pembangkang terbesar dalam kerajaan terdahulu, telah memulaukan pilihan raya yang dijangka dimenangi Parti Pheu Thai pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Hamil Selama 44 Tahun

Artikel Berikut

Artikel Lain