suria

VietJetAir Tempah 63 Buah Airbus A320

SINGAPURA: VietJetAir - syarikat penerbangan tambang murah yang baru ditubuhkan pada 2011 pada Selasa membuat tempahan sebanyak 63 buah pesawat Airbus A320 dengan nilai tempahan sebanyak AS$6.4 bilion.

Tempahan tersebut dimeterai pada hari pertama Pameran Udara Singapura di sini.

Buat masa ini VietJetAir hanya memiliki 11 buah pesawat A320 sahaja yang kesemuanya disewa untuk perkhidmatan ke Bangkok, Seoul dan Kunming di China.

"Model A320 telah terbukti merupakan pesawat paling efisien dalam perkhidmatan VietJetAir," kata Pengarah Urusannya, Luu Duc Khanh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Airbus.

Fabrice Bregier, presiden dan ketua pegawai eksekutif Airbus pula berkata, tempahan besar tersebut sekali lagi menunjukkan yang model A320 adalah yang paling popular dalam segmennya.

Menurut beliau lagi, sehingga kini model tersebut telah menerima sebanyak 10,100 unit dan daripada jumlah tersebut 5,900 buah unit telah pun diserahkan kepada 300 pelanggan menjadikan A320 sebagai model yang paling laris dalam kategorinya di dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain