suria

China Mula Longgarkan Dasar Satu Anak

BEIJING: Zhejiang, sebuah wilayah di timur China, merupakan wilayah pertama yang melonggarkan dasar satu anak di negara ini apabila ia mengumumkan pada Jumaat setiap pasangan suami isteri kini dibenarkan mempunyai dua anak.

"Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Zhejiang telah meluluskan pindaan kepada Peraturan Populasi dan Perancangan Keluarga Wilayah Zhejiang.

"Dasar baharu ini mula berkuat kuasa pada Jumaat," lapor agensi berita Xinhua.

Pada November tahun lepas, kerajaan China membuat pengumuman untuk melonggarkan dasar kontroversi seorang anak bagi setiap pasangan suami isteri setelah menguatkuasakan peraturan yang mengehadkan kelahiran sejak 1979.

Dasar satu anak ini mengehadkan suami isteri, kebanyakannya di bandar, hanya mempunyai seorang anak dan membenarkan kebanyakan pasangan di luar bandar mempunyai dua anak, sekiranya anak pertama mereka adalah perempuan.

Menurut laporan, langkah melonggarkan syarat itu dijangka memberi manfaat kepada 15 juta hingga 20 juta pasangan suami isteri.

Xinhua berkata Beijing, Wilayah Hubei, dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan negara ini, dijangka memperkenalkan dasar serupa pada Mac tahun ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

13 Maut Dalam Banjir Di Indonesia

Artikel Lain