suria

13 Maut Dalam Banjir Di Indonesia

INDONESIA: Seramai 13 orang terkorban manakala 40,000 lagi terpaksa berpindah selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda utara Pulau Sulawesi.

Bencana alam itu berlaku apabila air sungai di hujung utara pulau tersebut melimpah dan menghanyutkan rumah dan kenderaan.

Panik dengan kejadian itu, penduduk terpaksa menjadikan bangunan- bangunan kerajaan dan gereja sebagai tempat berlindung.

Jurucakap Agensi Bencana Negara Sutopo Purwo Nugroho memberitahu banjir kilat itu telah menyebabkan banyak tanah runtuh di kawasan pergunungan.

“Enam daerah dan bandar-bandar di wilayah utara Sulawesi telah terjejas dan ibu kota Manado antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir,” katanya.

Ketua Agensi Bencana Wilayah Utara Sulawesi Noldy Liow memberitahu, angka kematian akan meningkat dan hujan dijangkakan akan turun dalam dua atau tiga hari akan datang.

“Lima orang terkorban akibat banjir di Manado dan tanah runtuh di Bandar Yogyakarta manakala selebihnya maut akibat tanah runtuh di daerah Minahasa,” katanya. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain