suria

18 Maut Nahas Lori Pikap & Lori Pengangkut Tepung

JAKARTA: Sejumlah 18 orang, yang sedang dalam perjalanan untuk menziarahi jenazah di sebuah kampung lain, maut apabila lori pikap yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori pengangkut tepung di Tongas, Probolinggo, Jawa Timur, pada petang Sabtu.

Pihak berkuasa berkata kemalangan jalan raya yang disifatkan sebagai yang terburuk pada penghujung tahun 2013 itu.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku apabila lori pikap yang sarat membawa 32 penumpang itu dilaporkan sedang memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Pelanggaran itu mengakibatkan sejumlah penumpang lori pikap itu tercampak dari kenderaan itu dan 15 daripada mereka maut di tempat kejadian manakala tiga lagi meninggal dunia di hospital.

Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Jawa Timur, Awi Setiyono berkata polis masih menyiasat rapi untuk mengenal pasti punca kemalangan itu, sama ada kesalahan manusia, keadaan jalan yang kurang baik atau keadaan kenderaan yang tidak sesuai.

Media tempatan melaporkan suasana pilu di Hospital Umum Tongas apabila keluarga mangsa menuntut jenazah yang terkorban.

Jenazah kesemua mangsa kemalangan itu dikebumikan pada Ahad.

Artikel Lain