suria

Jumlah Mangsa Keganasan Berkaitan Tunjuk Perasaan Di Thailand Meningkat

BANGKOK: Seorang pengawal keselamatan menjadi mangsa terbaharu dalam keganasan berkaitan bantahan terhadap pilihan raya umum Thailand yang dijadual diadakan pada 2 Feb tahun depan.

Lelaki yang bertugas mengawal tempat perhimpunan kumpulan Rangkaian Pelajar dan Rakyat bagi Pembaharuan Thailand itu ditembak mati oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali berhampiran Rumah Kerajaan di sini pada kira-kira pukul 3 pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Jamrieng Jitwat, 31, dari wilayah Prachuab Khiri, Selatan Thailand.

Tiga orang lagi cedera dalam serangan itu.

Kumpulan tersebut adalah antara pihak yang cuba menghalang urusan pendaftaran calon bagi pilihn raya itu di Stadium Thailand-Jepun di Dindaeng sejak beberapa hari lepas.

Sehingga pukul 6 petang semalam, kira-kira 153 orang cedera akibat pertempuran antara polis pencegah rusuhan dengan penunjuk perasaan, kata Pusat Perubatan Erawan.

Pertempuran yang berlaku juga meragut nyawa sarjan mejar polis Narong Pitisilp, 45, dan seorang lelaki berusia 30 tahun bernama Wasu Sujantana.

Sementara itu, 53 parti politik telah mendaftr untuk menyertai pilihan raya berkenaan.

Urusan seterusnya ialah pendaftaran kawasan pilihan raya yang dijadual diadakan mulai hari ini hingga 1 Jan.

Lebih banyak keganasan dijangka berlaku menjelang berlangsungnya pilihan umum apabila penunjuk perasaan meningkatkan kempen mereka bagi mengganggu proses pemilihan.

Pemimpin tunjuk perasaan Suthep Thaugsuban berikrar akan melumpuhkan Bangkok pada hari mengundi.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Erdogan Buat Rombakan Kabinet Turki

Artikel Lain