suria

PM Thailand Batal Lawatan Ke Luar Negara Ekoran Konflik Politik

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membatalkan beberapa lawatan ke luar negara bulan ini berikutan konflik politik domestik yang masih tidak selesai dengan kumpulan anti kerajaan mempertimbang tindakan memaksanya meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Jurucakap kerajaan, Teerat Ratanasevi berkata, Yingluck menangguhkan lawatan ke Rusia pada 8 hingga 9 Disember dan tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun pada 12 hingga 15 Dis berikutan perhimpunan antikerajaan yang berterusan di sini.

Thailand akan diwakili Timbalan Perdana Menteri Niwatthamrong Boonsongpaisan pada sidang kemuncak itu di Jepun, katanya.

Yingluck juga tidak akan menghadiri upacara pembukaan Sukan SEA di Myanmar pada 11 Disember, menurut Teerat.

Sejak Ogos hingga setakat ini, Yingluck telah melakukan 36 lawatan ke luar negara termasuk melawat sembilan negara Asean.

Kumpulan anti kerajaan, Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) yang dipimpin Suthep Thaughsuban dijangka terus mengenakan tekanan ke atas Yingluck untuk meletak jawatan dan wujud kebimbangan bahawa kumpulan penyokong kerajaan, Kumpulan Baju Merah, yang mengekalkan sikap tidak menonjolkan diri mungkin bertindak balas.

Perhimpunan besar-besaran menentang kerajaan Yingluck bermula awal November berterusan sehingga hari ini dan tiada tanda-tanda kumpulan itu akan mengalah dengan tuntutan mereka bagi memaksa Yingluck meletak jawatan dan untuk pilihan raya umum diadakan.

Keganasan juga berlaku dengan beberapa elemen provokasi terus memuncak.

Sejak tengah malam hingga pagi Jumaat, tiga orang cedera dalam kejadian berasingan, menurut para pegawai.

Seorang lelaki berumur 46 tahun ditembak di lengannya di perkarangan Kementerian Kewangan sekitar tengah malam, yang telah bertukar menjadi tempat perhimpunan antikerajaan.

Di kawasan perhimpunan di Monumen Demokrasi, seorang lelaki yang bertindak sebagai pengawal keselamatan antikerajaan luka di jarinya berikutan letupan 'bom ping pong' dan bunga api dengan seorang pengawal keselamatan berumur 18 tahun ditikam di rusuk kirinya. - BERNAMA

Artikel Lain