suria

Projek Kereta Api Laju Melbourne-Brisbane Bernilai Aus$114 bilion & Ambil Masa 40 Tahun Untuk Siap

SYDNEY: Projek kereta api laju antara Melbourne dan Brisbane yang akan turut melintasi Canberra dan Sydney dianggarkan menelan belanja sehingga Aus$114 bilion (AS$120 bilion).

Ia akan mengambil masa sehingga 40 tahun untuk disiapkan, demikian menurut satu kajian yang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini.

Australia telah mendebatkan tentang isu berkaitan projek ini sejak tahun 80an lagi tetapi enggan terikat secara komited untuk melaksanakannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Albanese, yang telah mengarahkan agar kajian kemungkinan melaksanakan projek ini dijalankan pada tahun 2010 bagaimanapun berkata, jika berjaya ia bakal mengubah cara hidup dan populasi penduduk Australia pada masa depan.

Namun beliau tidak menafikan, terdapat isu teknikal, logistik dan kewangan yang perlu difikirkan semasak-masaknya sebelum sebarang keputusan dicapai untuk meneruskan projek gergasi ini.

Tetapi apabila ditanya apakah kerajaan persekutuan benar-benar serius untuk melaksanakan projek ini, beliau menjawab; "Ya..."

Projek ini akan meliputi 1,700 kilometer panjang dan melibatkan pembinaan 144 kilometer terowong bawah tanah.

Kajian yang dijalankan itu mendapati, kos total akan mencecah AUS$114 bilion, termasuklah projek pembangunan dan pembinaan berkaitan.

Ia kelak mampu mengangkut sehingga 84 juta penumpang setahun dan meransang pertumbuhan ekonomi antara wilayah timur dan barat Australia.

Dan bagi setiap Aus$1 yang dilaburkan untuk projek ini, pulangan hasilnya adalah Aus$2.30.

Buat masa ini perjalanan menggunakan kereta api berkelajuan biasa dari Sydney ke Melbourne mengambil masa 12 jam tetapi hanya akan memakan masa 2 jam 44 minit sahaja dengan kereta api berkelajuan 300 kilometer sejam.

Sementara perjalanan dari Sydney ke ibu negara Canberra akan dikurangkan sehingga 4 jam 64 minit manakala perjalanan dari Sydney ke Brisbane pula akan mengambil masa hanya 2 jam 37 minit berbanding 13 jam pada masa sekarang.

Namun begitu kajian itu juga pada masa yang sama mendapati, jika dilaksanakan ia hanya akan siap sepenuhnya pada tahun 2058.

Projek kereta api berkelajuan tinggi itu kini akan dibentangkan kepada awam untuk mendapatkan maklum balas.

Artikel Lain