suria

Brunei Siap Sedia Jadi Tuan Rumah Mesyuarat Asean Esok

BANDAR SERI BEGAWAN: Mesyuarat dua hari peringkat menteri sebagai persiapan menghadapi Sidang Kemuncak Asean Ke-22 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di sini, akan bermula esok, sekretariat mesyuarat itu memaklumkan dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut atur cara yang dikeluarkan, mesyuarat berkenaan akan bermula dengan jamuan tengah hari bagi meraikan kedatangan para menteri Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang dihoskan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan 11 Brunei Pehin Lim Jock Seng.

"Majlis jamuan ini akan disusuli dengan Mesyuarat Komuniti Ekonomi Asean (AEC) Ke-9 dan Jamuan Malam Kerja Menteri Luar Asean," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, antara isu yang dijangka dibincang pada Mesyuarat Majlis AEC Ke-9, ialah Kad Laporan AEC yang menyorot pelaksanaan Rangka Tindakan AEC, khususnya berkaitan sasaran penubuhan AEC menjelang 2015.

"Majlis itu juga akan meneliti kemajuan yang dicapai dalam usaha mempermudahkan lagi dan menggalakkan pengaliran perkhidmatan serta profesional yang merentasi sempadan, kemajuan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sejak pelancarannya pada November tahun lepas dan pelaksanaan Pelan Induk Mengenai Kesalinghubungan Asean.

"Hasil dan syor daripada mesyuarat itu akan dikemukakan kepada para pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean Ke-22, yang dijadual berlangsung pada 24 dan 25 April 2013 di sini.

"Pada Khamis pula akan berlangsung Pemukiman Menteri-menteri Luar Asean, diikuti Mesyuarat Kesembilan Majlis Komuniti Keselamatan Politik Asean (APSC). "Pada Khamis juga akan diadakan Mesyuarat Majlis Penyelarasan Asean (ACC) Ke-12," kata kenyataan itu.

Brunei menyandang jawatan pengerusi Asean dari Januari hingga Disember 2013.

Negara ini memilih tema 'Rakyat Kita Masa Depan Kita Bersama' sempena pemilihannya menduduki kerusi itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain