suria

Satelit Mini Jepun Pancar Kod Dari Angkasa

TOKYO: Satelit Jepun sebesar telapak tangan di orbit mengelilingi Bumi akan memancarkan pesanan kod Morse yang akan dapat dilihat di seluruh dunia bermula bulan depan, kata komander misi itu pada Jumaat.

Penyelidik berharap agar kiub satelit itu yang berukuran 10 sentimeter (empat inci) dan dilancarkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada Jumaat, akan menjadi pengorbit pertama yang menghantar mesej LED merentasi langit malam.

Mesej itu pada asalnya bertujuan untuk hanya dilihat di Jepun tetapi masyarakat di seluruh dunia meminta supaya satelit itu berkomunikasi secara menyeluruh, kata Takushi Tanaka, seorang profesor di Institut Teknologi Fukuoka.

“Permintaan jauh lebih ramai daripada yang saya jangkakan – seorang lelaki di Lembah Silicon mahu melihatnya manakala seorang lelaki lain mahu kami memancarkannya ke seluruh Central Park di New York, kata Tanaka kepada AFP menerusi panggilan telefon.

Beliau berkata, dia turut menerima permintaan daripada penduduk bandar di Itali, Jerman, Brazil, Britain dan Hungary.

“Tiada matlamat yang praktikal untuk ini, tetapi ia adalah satu eksperimen yang menyeronokkan bahawa semua orang boleh menyertainya,” katanya.

Pemerhati, sebaik-baiknya melihat dengan teropong, kilauan cahaya hijau di hemisfera utara di mana orang akan melihat “depan” satelit, dan merah di hemisfera selatan, yang melihat bahagian belakangnya.

Kod Morse menggunakan satu siri titik dan sengkang untuk mewakili abjad dan biasanya difahami di seluruh dunia sebagai satu cara menghantar teks. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain