suria

Cucu Runme Shaw Jalani Hukuman Penjara 3 Bulan

SINGAPURA: Cucu kepada mogol filem Asian, Howard Shaw, 41, memulakan hukuman penjara selama tiga bulan bermula Jumaat setelah didapati bersalah melakukan hubungan seks dengan perempuan di bawah umur.

Howard adalah cucu kepada Runme Shaw yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai penerbit filem-filem popular di era 50an dan 60an.

Shaw bagaimanapun layak dipertimbangkan untuk perlepasan awal iaitu selepas lapan minggu menjalani hukuman penjara jika pihak berkuasa penjara berpuashati dia berkelakuan baik.

Shaw didapati bersalah pada Julai lalu kerana membayar seorang pelacur untuk mendapatkan khidmat seks pada Oktober 2010.

Bagaimanapun dia tidak mengetahui yang pelacur yang ditidurinya itu belum berusia 18 tahun.

Di bawah undang-undang Singapura, adalah menjadi satu jenayah untuk sesiapa membayar perempuan berusia di bawah 18 tahun untuk melakukan hubungan seks.

Selain Shaw, terdapat 50 lagi lelaki termasuk ahli perniagaan, kakitangan awam, ekspatriat dan pegawai beruniform yang telah didakwa di mahkamah kerana mengadakan hubungan seks dengan perempuan yang sama.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim menolak kenyataan dan hujah Shaw yang mengatakan dia telah melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

Hukuman maksimum untuk kesalahan seperti ini ialah tujuh tahun penjara dan denda.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain