suria

40,000 Al Quran Khmer Bagi Rakan Islam Kemboja

PHNON PENH: Kira-kira 500,000 umat Islam di Kemboja akan dapat menghayati al-Quran dalam bahasa Khmer hasil usaha Yayasan Restu dan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Melalui hasil usaha kedua-dua pihak ini sebanyak 40,000 kitab al Quran yang diterjemahkan kepada bahasa Khmer akan dicetak dalam fasa pertama dengan 3,840 naskah diserahkan pada Rabu di Masjid Kilometer 9, Phnom Penh.

Di majlis penyerahan itu Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Penasihat Agama kepada Menteri Pertahanan Datuk Kamaruddin Mamat menyerahkan naskah-naskah al Quran itu kepada Timbalan Menteri Pengangkutan, Vokasional dan Latihan Kemboja Othsman Hassan.

Othsman yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja mewakili warga Islam di negara itu. Kamaruddin menjelaskan baki cetakan Quran itu akan dihantar selepas Hari Raya dalam beberapa fasa menggunakan penerbangan Air Asia dan MAS.

USAHA TANPA MENGENAL PENAT LELAH

Menurutnya, terjemahan kitab berkenaan ke dalam bahasa Khmer mengambil masa 15 tahun yang diketuai penterjemahnya Zakaryya Adam dengan kerjasama Yayasan Restu.

"Sebagai umat Islam saya turut berbangga dengan izin Allah akhirnya usaha menterjemahkan al Quran ini ke bahasa Khmer berjaya walaupun ia mengambil masa belasan tahun untuk menyiapkannya," katanya ketika berucap di majlis penyerahan itu.

Turut hadir ialah Mufti Kemboja Haji Kamaruddin Yusuf dan tokoh-tokoh agama tempatan yang turut membantu sehingga kitab suci Allah ini sampai ke bumi Kemboja.

Kamaruddin berharap kerjasama ini akan meningkatkan ukhuwah sejagat dan melahirkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap saudara seagama yang memerlukan bantuan sama ada material atau maknawi.

Menurut beliau, sumbangan berbentuk mushaf ini adalah kombinasi material dan maknawi (ilmu) kepada masyarakat Islam Kemboja.

Terjemahan kitab ini diuruskan Zakaryya manakala percetakan dan penghantaran ke Kemboja diuruskan Yayasan Restu.

Pengagihannya pula diuruskan Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja dengan kerjasama Majlis Tertinggi Umat Islam Kemboja.

CITA-CITA YAYASAN RESTU Abdul Latiff berkata

Yayasan Restu mahu menubuhkan pusat percetakan al-Quran dan menjadi negara kedua di dunia untuk mencetak al-Quran untuk kegunaan umat Islam selepas Arab Saudi.

Menurut beliau, Yayasan Restu sedang berusaha untuk memperoleh dan menerbitkan al-Quran dalam bahasa Tagalog (Filipina), Thailand, Cham (Kemboja), Mandarin (China) dan Tamil (India dan Sri Lanka).

Beliau berkata, sebanyak 60,000 lagi kitab al Quran terjemahan bahasa Khmer akan dicetak selewat-lewatnya akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan 100,000 naskah.

Menurutnya, kos penyelidikan, penulisan, pencetakan dan penghantaran membabitkan belanja bernilai RM3 juta adalah sumbangan rakyat Malaysia.

Sementara itu Othsman berkata, umat Islam Kemboja berbangga kerana rakyat Malaysia merealisasikan impian penduduk Islam Kemboja membaca al Quran terjemahan bahasa Khmer. Menurutnya, selama ini umat Islam Kemboja hanya membaca Quran tanpa memahami maksud sebenar kecuali mereka yang memahami bahasa Arab.

"Melalui terjemahan ini mereka boleh memahami dan menghayati kandungan yang terdapat di dalamnya.

"Terjemahan itu juga akan menggalakkan bukan Islam memahami ajaran Islam sebenarnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain