suria

Kekurangan Tandas: Kanak-Kanak Di Manila Berdepan Risiko Penyakit

KUALA LUMPUR: Ratusan ribu kanak-kanak berdepan risiko penyakit akibat kekurangan tandas dan bekalan air bersih di pusat pemindahan yang sempit di Metro Manila dan wilayah sekitarnya berikutan bencana banjir.

Menurut kenyataan badan bukan kerajaan antarabangsa Save the Children dari pejabatnya di Filipina, agensi bantuan sedang berusaha mengagih sejumlah 2,500 pakej kebersihan yang mengandungi barangan seperti sabun dan syampu.

Majlis penyelarasan bencana kerajaan Filipina hari ini berkata sejumlah 60 orang disahkan terkorban setakat ini, manakala lebih 362,000 lagi ditempatkan di pusat pemindahan.

Secara rasmi, bilangan penduduk yang terjejas akibat banjir dianggarkan berjumlah 2.44 juta orang.

"Kita telah melihat banyak kes cirit-birit, selesema dan ruam kulit di pusat pemindahan, yang boleh merebak dengan cepat jika orang ramai tidak menjaga kebersihan, terutama kanak-kanak.

"Hampir 300,000 orang dimasukkan ke dalam kurang daripada 500 pusat pemindahan dan mereka hidup dalam keadaan tidak menentu. Sistem kebersihan yang teruk, kekurangan air bersih serta perkhidmatan kesihatan merupakan faktor yang lebih memburukkan keadaan," kata kenyataan itu.

Save the Children memulakan pengagihan bantuan di ibu negara dan Laguna, yang akan sampai kepada 1,500 keluarga dengan pakej awal termasuk peralatan memasak serta membersih menjelang akhir minggu ini.

Save the Children berkhidmat di Filipina sejak 1981 dan melaksanakan bantuan kecemasan secara besar-besaran semasa taufan Ketsana pada 2009 serta taufan Washi tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain