suria

AirAsia Rancang Bina Pusat Latihan Juruterbang Di Cengkareng

JAKARTA: PT AirAsia Indonesia, sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia, merancang untuk membangunkan sebuah pusat latihan juruterbang bertaraf antarabangsa di Cengkareng, Banten pada Mac tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dharmadi dilaporkan berkata selain bertujuan melatih juruterbang syarikat itu supaya bertaraf antarabangsa, pusat latihan itu juga terbuka kepada juruterbang lain dari seluruh dunia.

Rancangan mengenai pembangunan pusat latihan juruterbang itu sebelum ini telah disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes semasa pelancaran pejabat baru AirAsia ASEAN di sini pada Selasa lalu, bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut ketika itu.

Fernandes menyebut bahawa pembangunan pusat latihan penerbangan dan sekolah kejuruteraan bagi membimbing golongan belia yang ingin mencebur diri dalam industri penerbangan, merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang AirAsia.

AirAsia sudah mempunyai sebuah pusat latihan serupa tidak jauh dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, Selangor iaitu Asian Aviation Academy. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain