Pergaduhan boleh bertukar menjadi kes jenayah apabila emosi menguasai diri hingga berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa. -Gambar hiasan AI
NIAT seorang remaja lelaki untuk pergi ke sekolah bertukar tragedi berdarah apabila dia terlibat dalam pergaduhan yang mengorbankan nyawa bapa saudaranya sendiri pada awal pagi Isnin.Menurut pihak polis, mangsa dikenali sebagai Rohmat Supriyanto, 49, dipercayai maut selepas dipukul dengan topi keledar dalam kejadian di Jalan Nusa Indah, Kabupaten Rembang, Indonesia.Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Rembang, AKP Alva Zakya Akbar memberitahu, kejadian kira-kira pukul 6.46 pagi itu bermula semasa suspek berusia 16 tahun menaiki motosikal Honda Vario 150 bersama rakannya untuk menuju ke sekolah.Ketika melalui Jalan Raya Lingkar Selatan Rembang, motosikal mereka dikatakan dipotong dan dihimpit oleh mangsa sehingga berlaku pergeseran. Sebaik tiba di Jalan Nusa Indah, mangsa sekali lagi menghimpit motosikal yang dinaiki suspek sebelum remaja itu turun dari motosikalnya.Perang mulut akhirnya bertukar menjadi pergaduhan dan suspek menanggalkan topi keledarnya lalu memukul mangsa.Orang awam yang berada di kawasan kejadian kemudiannya meleraikan pergaduhan tersebut. Mangsa ketika itu rebah manakala suspek ditahan sebelum diserahkan kepada polis.Alva berkata, hubungan antara mangsa dan suspek sebelum ini sudah tidak begitu baik kerana terdapat konflik keluarga berkaitan perebutan harta pusaka.Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital. Ujarnya, polis merampas beberapa barang bukti, termasuk sebuah motosikal Honda Beat berwarna putih-merah, Honda Vario 150 berwarna putih serta sebuah topi keledar hitam jenama Honda.Alva berkata, suspek yang dikategorikan sebagai remaja bawah umur masih menjalani pemeriksaan oleh pihak polis.Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui secara terperinci punca pergaduhan serta punca sebenar kematian mangsa. -Agensi