DUA individu dipercayai pasangan suami isteri ditemukan maut dalam sebuah rumah selepas tingkat atas kediaman mereka terbakar lewat malam Ahad.Kejadian berlaku di sebuah rumah dua tingkat dalam kawasan perumahan di Bang Si Mueang, daerah Mueang, Nonthaburi, sekitar pukul 12.30 tengah malam Isnin. Polis dari Balai Polis Bang Si Mueang menerima laporan mengenai kebakaran sebelum pasukan bomba dikejarkan ke lokasi.Ketika tiba, api sedang marak di tingkat atas rumah berkenaan.Pasukan bomba mengambil masa lebih 30 minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.Selepas api dipadamkan, pihak berkuasa mendapati tingkat bawah rumah tidak mengalami kerosakan besar akibat kebakaran.Walau bagaimanapun, pihak berkuasa mengesan kesan cecair dipercayai petrol di beberapa bahagian lantai kediaman tersebut.Sebuah bekas berisi bahan api berkapasiti 20 liter turut ditemukan berhampiran tangga menuju ke tingkat atas.Pasukan penyelamat kemudian menemukan mayat dua individu di dalam sebuah bilik tidur dalam keadaan terlentang di atas katil dan mengalami kesan terbakar yang teruk.Bukan itu sahaja, pihak berkuasa turut mendapati sebuah dapur arang yang dipercayai pernah digunakan berada di dalam bilik air. Tragedi itu turut meragut nyawa beberapa ekor kucing peliharaan yang ditemukan mati di beberapa sudut dalam rumah berkenaan.Pihak berkuasa memaklumkan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Institut Sains Forensik Pusat bagi menjalani bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.Pasukan polis forensik juga dijangka menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian bagi menentukan punca kebakaran serta menyiasat keadaan yang membawa kepada kematian kedua-dua mangsa. -Agensi